suria

PRN Sarawak: DAP Tidak Akan Menggunakan Kes Kematian Pegawai Kastam Untuk Memancing Undi

KUCHING: DAP tidak akan menggunakan kes kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan pada Rabu untuk memancing undi pada pilihan raya negeri yang akan diadakan 16 April ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap kematian itu sebagai satu tragedi dan tidak akan menggunakannya demi kepentingan politik.

"Ia satu tragedi. Jadi kita tidak akan mencampur-adukkan insiden itu untuk kepentingan politik semata-mata. Namun keadilan perlu ditegakkan berhubung insiden tersebut," katanya pada sidang media di pejabat DAP di sini, Khamis.

Ahmad Sarbani ditahan semalaman pada 1 April lalu bagi membantu siasatan kes rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Sementara itu, Gobind Singh Deo yang juga pemimpin DAP dan Ahli Parlimen Puchong ketika ditanya mengenai kes itu berkata, semua pihak dikejutkan dengan insiden kedua yang melibatkan kematian di premis SPRM.

"Selepas kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor, dua tahun lepas, tiada usaha dilakukan pihak SPRM untuk memastikan insiden itu tidak akan berulang kembali," jelasnya.

Menurutnya, sejumlah 59 laporan polis telah dibuat oleh orang awam yang dikasari semasa dalam tempoh siasatan.

Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang kes dibawa ke mahkamah manakala 29 lagi tertangguh dan masih menunggu arahan daripada Peguam Negara.

Jelas beliau, perkara itu pernah diusulkan beberapa kali di parlimen tetapi tiada tindakan lanjut diambil SPRM dan pihak kerajaan.

"Perkara mudah yang perlu mereka lakukan adalah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap premis SPRM untuk memastikan setiap siasatan dirakam dan keselamatan orang awam terjamin," tegasnya.

Artikel Lain