suria

PRN Sarawak: Calon Baru BN Di Telang Usan Mahu Teruskan Agenda Pembangunan Untuk Rakyat

MIRI: Muka baru calon Barisan Nasional (BN) Dennis Ngau, yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Telang Usan di daerah Baram, yakin dapat meneruskan usaha membawa angin perubahan ke kawasan pedalaman itu.

Ngau, 43, seorang usahawan dan anak tempatan berkata beliau akan meneruskan agenda pembangunan dirancang kerajaan untuk kawasan majoriti Orang Ulu yang terdiri daripada kaum Penan, Kelabit, Kenyah, Kayan, Saban, Berawan dan Lakiput dan suku kaum yang tinggal di hilir sungai seperti Lun Bawang dan Lun Dayeh.

Kumpulan ini merupakan kira-kira enam peratus daripada penduduk Sarawak.

Ngau, yang merupakan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Telang Usan sejak 2001, memberitahu Bernama beliau lebih mementingkan pencapaian dalam sesuatu usaha daripada hanya bercakap mengenainya.

Terlibat dalam pertandingan empat penjuru, Ngau berkata beliau tidak gentar berhadapan pencabarnya daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang diwakili bekas wakil rakyat Telang Usan Kebing Wan, 61; calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) peguam dan bekas anggota Parlimen Baram Harrison Ngau Laing, 51; dan calon bebas Jok Ding, 58.

"Beri kepercayaan kepada BN. Kita tidak beretorik. Kita bercakap dan buat kerja", katanya.

Ngau berkata beliau akan memastikanTelang Usan, kawasan luar bandar yang terpencil itu terus menikmati pembangunan dan penduduknya tidak terpinggir dan ketinggalan.

"Saya percaya pengundi Telang Usan akan terus menyokong Barisan Nasional dan kita merayu kepada pengundi agar memberi kepercayaan kepada BN untuk membolehkan kita memberi kebaikan dalam kawasan kita yang begitu luas ini. Hanya BN yang dapat membantu," katanya.

Ngau berkata beliau sedang berusaha untuk menarik lebih ramai belia di kawasan itu terlibat dalam aktiviti pembangunan.

Telang Usan, yang terletak dalam kawasan Parlimen Baram, mempunyai 13,623 pengundi.

Pada pilihan raya negeri 2006 penyandang Lihan Jok daripada BN-PBB menang dengan majoriti 2,771 undi dalam pertandingan tiga penjuru. - BERNAMA

Artikel Lain