suria

Presiden SUPP Buat Laporan Polis Terhadap Risalah Pembangkang

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan pada Khamis, membuat laporan polis terhadap kandungan sebuah risalah yang diedarkan oleh DAP yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan yang rasuah.

Dr Chan, yang dicabar oleh calon DAP Ling Sie Kong bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini, berkata risalah itu ditulis dalam bahasa Cina.

Laporan polis itu adalah kedua oleh SUPP selepas penyandang kerusi DUN Pujut, Andy Chia, mendakwa papan iklan kempennya di bulatan Krokop 10-Jee Foh Road di sini sengaja dirosakkan.

Dr Chan, yang mempertahankan kerusi itu, berkata selain laporan polis, beliau juga telah membuat aduan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mungkin mengambil tindakan sivil.

Katanya dakwaan dalam risalah itu adalah tidak berasas dan beliau mencabar pembangkang supaya membuat laporan dengan pihak berkuasa sekiranya mereka mempunyai bukti terhadap dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Jamaludin Ibrahim, mengesahkan menerima kedua-dua laporan itu. - BERNAMA

Artikel Lain