suria

Pembangkang Tidak Konsisten Menolak Cadangan Penubuhan Suruhanjaya - PM

SANTUBONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, pembangkang telah menunjukkan sikap yang tidak konsisten apabila menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal video seks yang didakwa melibatkan seorang yang mirip pemimpin utama mereka.

Menurut beliau, pembangkang sanggup mengetepikan prinsip untuk memperjuangkan keadilan apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang tidak menguntungkan mereka.

"Ramai orang rasa pelik dan aneh sebab atas kebanyakkan isu merekalah antara yang pertama minta Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.

"Tapi yang pelik ialah bila isu ini bangkit mereka menolak cadangan untuk tubuhkan sebuah suruhanjaya.

"Nampaknya pembangkang tidak konsisten dan tengok kepada keadaan dan kalau mereka rasa ada sesuatu yang mungkin tidak menguntungkan mereka, mereka akan ketepikan prinsip," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman video seks membabitkan pelaku mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikemukakan kepada Kabinet pada Jumaat.

Menurut Mohamed Nazri, penubuhan suruhanjaya itu perlu disegerakan berikutan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelmarin, bahawa lelaki yang terdapat dalam video berkenaan bukanlah suaminya.

Sebelum ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh, berkata penubuhan suruhanjaya berkenaan tidak diperlukan sebaliknya pada masa ini tumpuan perlu diberikan kepada siasatan polis kerana ia sudahpun dimulakan terhadap kes itu.

Artikel Lain