suria

Kontraktor dan Pemilik Syarikat Pembalakan Dihukum Penjara 24 Bulan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, memerintahkan seorang kontraktor dan pemilik syarikat pembalakan menjalani hukuman penjara selama 24 tahun, selepas didapati bersalah memberikan rasuah kepada Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Hakim Rosbiahanin Ariffin turut memerintahkan supaya Chin Boon Leong dan Hor Kin Onn, kedua-duanya berusia 43 tahun menjelaskan denda RM35,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara 18 bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Chin dan Hor didakwa atas memberi rasuah RM5,000 kepada Mohd Yussainy Md Yusop pada pukul 10.30 malam, 1 Februari 2010, di Hotel The Legend, Tingkat 9, Putra Place, 100 Jalan Putra.

Mereka juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu memberi suapan yang sama kepada Mohd Yussainy pada pukul 12.05 tengah hari, 2 Februari 2010 di Hassan Cafe Sdn Bhd di Cyberjaya, dekat sini.

Kedua-dua suapan terbabit didakwa sebagai dorongan untuk Mohd Yussainy tidak menyita sebuah lori yang tidak berdaftar, sebuah jentolak dan sebuah jengkaut yang digunakan dalam kerja-kerja pembalakan haram di kawasan Bukit Tamu, Plot 1, Mukim Batang Kali, Ulu Selangor, dekat sini.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam-peguam A.S Dhaliwal, Majeet Singh dan Therance Naidu.

Artikel Lain