Kematian Pegawai Kastam, Najib Arah Siasatan Rapi - Semasa | mStar

Kematian Pegawai Kastam, Najib Arah Siasatan Rapi

SANTUBONG: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengarahkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi secara telus dan profesional bagi mengetahui punca kematian seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditemui mati terjatuh di bangunan pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan maklumat awal diterima, pegawai berkenaan hadir ke pejabat SPRM secara sukarela untuk menukar kenyataannya bagi satu siasatan kes berhubung pengubahan wang haram.

"Kita harap satu siasatan konprehensif dan rapi dapat dibuat supaya semua pihak dapat mengetahui apa yang sebenarnya terjadi.

"Kita tidak akan selindung apa-apa (maklumat)," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Selain itu Perdana Menteri berkata, kejadian berkenaan tidak boleh disamakan dengan kematian pembantu politik seorang exco Selangor, Teoh Beng Hock di Plaza Masalam di Shah Alam yang ditemui mati terjatuh di koridor bangunan berkenaan.

"Tidak ada apa-apa soal siasat dilakukan oleh pihak SPRM terhadap beliau, dia sendiri hadir ke pejabat SPRM," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat punca kematian Ahmad Sarbani, Najib berkata: "Kita tunggu hasil siasatan polis dahulu."

Semalam, mayat Ahmad Sarbani yang juga Penolong Pengarah Kastam Selangor ditemui berlumuran darah dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrain.

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

14 ciri WhatsApp yang mungkin anda tak tahu

Model Playboy buah hati baharu Neymar