suria

Usaha Naik Taraf Sistem Kehakiman Syariah

KUALA LUMPUR: Kadar hukuman di Mahkamah Syariah yang lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil akan dibincangkan dalam Konvensyen Pemacuan Transformasi Perundangan Islam di Malaysia yang bermula hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata mekanisme perbincangan dalam konvensyen dua hari itu adalah antara usaha untuk menaik taraf sistem kehakiman Syariah di negara ini memandangkan Undang-undang Syariah jauh ketinggalan berbanding Undang-undang Sivil dari segi had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh hakim syarie.

Katanya, sebagai contoh bagi kesalahan sumbang mahram di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559, hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau enam kali sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut.

Sedangkan Kanun Keseksaan 1997 Akta 574 menetapkan hukuman bagi sumbang mahram iaitu penjara tidak kurang dari enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun, dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan, katanya.

"Biar pihak yang pakar (dalam perundangan) melihatnya (hukuman) dari sudut perundangan kerana kita tidak mahu hukuman itu bercanggah atau bertembung dengan hukuman dari mahkamah umum lain seperti Mahkamah Sivil," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena konvensyen itu di sini.

Konvesyen anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut dihadiri Pengerusi IKIM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Konvensyen itu antara lain bertujuan memberi pendedahan tentang sejarah, kedudukan cabaran dan realiti semasa sistem perundangan negara, membuat penilaian ke atas institusi-institusi Islam yang berkaitan dalam tadbir urus hal ehwal perundangan Islam dan mengemukakan cadangan atau rumusan penyelesaian holistik ke arah lonjakan perubahan (transformasi) secara cekap, bertenaga, agresif, dinamik dan sistematik.

Dalam ucaptamanya Jamil Khir berkata selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), para pegawai Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) serta agensi hendaklah menggunakan peluang ketika menyertai konvensyen itu untuk mempertingkatkan keupayaan tadbir urus sistem perundangan Islam di negara ini.

"Inilah kesempatan terbaik bagi agensi-agensi Islam sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri untuk memantapkan sistem perundangan Islam di negara ini, yang menjadi agenda bersama tanpa mengira fahaman politik atau kenegerian.

"Amatlah rugi jika kesempatan yang ada ini disia-siakan sedangkan negara ini sebenarnya telah bersaksi berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa ia adalah negara Islam," katanya.

Sementara itu Abdullah berkata konvensyen itu akan disusuli kajian fasa II yang akan dilaksanakan dalam bentuk bengkel yang disebut sebagai "Makmal Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam" dalam usaha penjenamaan semula agensi terlibat.

"Makmal ini nanti akan disertai wakil dari setiap agensi Islam seperti JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Peguam Negara (Seksyen Syariah) dan Majlis Agama Islam Negeri bagi mengupas dan mengembangkan idea-idea yang lahir dalam konvensyen ini untuk diaplikasikan pada setiap agensi terbabit," katanya.

Katanya, makmal itu juga akan menjadi forum kepada para responden untuk mengenalpasti pembaikan dan pembaharuan yang perlu ada pada setiap agensi terbabit.

Seramai 200 orang terdiri daripada pegawai kanan dari institusi agama termasuk JAKIM, JKSM, Jabatan Peguam Negara (Seksyen Syariah), Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia menyertai konvensyen itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain