suria

Tiada Perarakan Mega Untuk Pembangkang Di Sarawak

BERBEZA daripada kebiasaannya, calon pembangkang tidak diiringi perarakan besar penyokong parti pada hari penamaan calon bagi pilihan raya Sarawak yang berlangsung pada Rabu.

Malah ada beberapa kawasan yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu sebuah parti pembangkang yang berpusat di Semenanjung hanya dihadiri kurang 50 orang penyokong.

Terdapat lima parti pembangkang di Sarawak termasuk DAP, PKR, PAS di bawah gabungan Pakatan Rakyat dan dua parti pembangkang tempatan iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Seperti di pusat penamaan calon bagi DUN Tasik Biru yang bertempat di Dewan Suarah Bau, Frenkie Jurem Nyombui daripada SNAP hanya diiringi kira-kira sepuluh orang penyokong sementara calon PKR, Datuk John Tenewi hadir bersama kira-kira 40 orang penyokong.

Perbezaan angka kehadiran penyokong dilihat semakin ketara antara penyokong pembangkang dan Barisan Nasional (BN) terutama di kawasan-kawasan calon popular seperti bagi DUN Balingian dan DUN Satok.

Bagi DUN Satok, suasana sekitar pusat penamaan calon di Dewan Datuk Merpati Jepang dilihat begitu hambar di kawasan PKR yang hanya di hadiri kira-kira 50 penyokong parti.

Kehadiran mereka dengan perarakan bendera parti beserta laungan slogan 'selamat Sarawak' dan 'tolak Taib' dilihat kurang menarik perhatian walaupun turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berbanding PKR, jumlah 'ahli rombongan' BN lebih meyakinkan apabila kehadiran calonnya, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg diiringi kira-kira 2,000 penyokong dengan membawa bendera dan banting.

Kehadiran penyokong BN dikepalai dengan perarakan motosikal yang membawa bendera parti.

Suasana hambar di pihak pembangkang lebih dirasai di pusat penamaan calon bagi DUN Balingian yang ditandingi Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra, Mukah begitu meriah dengan kehadiran kira-kira 5,000 penyokong BN.

Turut serta dalam perarakan sejauh kira-kira dua kilometer dari Masjid Setia Raja ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, serta isteri Taib, Puan Sri Ragad Waleed Taib.

Di pihak PKR, calonnya, Baru Bian yang juga Pengerusi PKR Sarawak tiba dengan perarakan kira-kira 100 penyokong.

Lebih mencuri tumpuan ialah kehadiran secara sederhana calon Bebas iaitu sepupu kepada Abdul Taib, Datuk Salleh Jafaruddin dengan diiringi isterinya, Datin Sharifah Hajijah Syed Jamil dan seorang lagi bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, serta dua orang penyokong.

Bagaimanapun sukar digambarkan sama ada kehadiran jumlah penyokong yang ramai di pihak BN mahupun sambutan hambar di pihak pembangkang boleh diterjemahkan sebagai sokongan sebenar dalam bentuk undi pada 16 April depan.

Rekod terdahulu menerusi beberapa siri pilihan raya kecil sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipadankan dengan pilihan raya negeri.

Namun nyata sekali di beberapa bahagian pilihan raya kecil terutama sejak lima yang terakhir, kehadiran penyokong yang ramai terutama di pihak pembangkang tidak menggambarkan sokongan dalam bentuk undi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain