suria

PRN Sarawak: PAS Hampa Hampir Menang Tanpa Bertanding

KUCHING: Barisan Nasional (BN) hampir memberi kemenangan percuma kepada PAS apabila calonnya, Datuk Sri Mohammad Ali Mahmud didakwa tidak mengemukakan penyata perbelanjaan bagi pilihan raya negeri 2006.

Bagaimanapun harapan PAS untuk menang tanpa bertanding hampa apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan yang dikemukakan parti itu terhadap Mohammad Ali.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, berdasarkan semakan yang dibuat, Mohammad Ali sememangnya mengemukakan penyata perbelanjaan berkenaan.

Mohammad Ali yang menang dengan 6,327 majoriti undi di DUN Muara Tuang pada 2006 akan bertemu dengan calon baru PAS, Noraini Hamzah dalam usaha mengekalkan penguasaan BN di kawasan itu.

Ketika ditanya sama ada penangguhan pengumuman rasmi senarai calon yang akan bertanding ada kaitan dengan DUN Muara Tuang, beliau berkata: "Ia tiada kaitan dengan DUN Muara Tuang. Sebaliknya, kelewatan itu disebabkan pihaknya perlu meneliti semua borang penamaan calon."

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pencalonan tertinggi calon bebas yang diterima pada pilihan raya ini membuktikan SPR tidak menghalang sesiapa saja yang ingin bertanding kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

"Saya hanya mahu kempen pilihan raya berjalan dengan tenang dan tenteram. Saya difahamkan orang Sarawak tidak suka kekerasan dan saling hormati-menghormati antara satu sama lain," katanya.

Jelas beliau, bagi calon yang ingin menarik diri mereka mempunyai tempoh sehingga jam 12 tengah malam, 9 April ini untuk berbuat demikian.

Artikel Sebelum

Artikel Lain