suria

PRN Sarawak: Jentera BN DUN Pantai Damai Sedia Gempur Parti Lawan

TELAGA AIR: Jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai (N.4) sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menggempur parti lawan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan 16 April ini.

BN yang diwakili calonnya, Dr Abdul Rahman Junaidi akan bertemu Wan Zainal Abidin Wan Senusi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pernah bertanding di DUN Samariang (N.7), lima tahun lalu.

"Persiapan jentera BN berjalan dengan lancar dan kempen sudah aktif dilakukan sejak beberapa hari lepas. Kita juga telah memberi kursus, simulasi dan bengkel kepada penggerak jentera sejak Februari tahun lalu. Kita akan berjuang habis-habisan untuk menggempur pihak lawan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Bukan mahu mengecilkan kredibiliti pihak lawan tetapi Abdul Rahman mengakui DUN Pantai Damai merupakan salah sebuah kubu kuat BN di negeri ini setelah sekian lama.

"Saingan kali ini sedikit ringan memandangkan kita kenal calon lawan yang akan bertanding kelak. Dia merupakan bekas pemimpin PBB suatu ketika dulu. Jadi saya rasa kita dapat menandingi beliau pada pilihan raya kali ini.

"Insya-Allah sehingga hari ini, BN sentiasa mendapat sokongan padu daripada segenap lapisan masyarakat tidak kira tua ataupun muda di kawasan ini," ujarnya.

Ketika ditanya apakah isu yang akan digunakan pembangkang pada pilihan raya kali ini, beliau berkata: "Mereka tidak ada isu besar untuk dikemukakan kepada rakyat, sebaliknya mereka hanya akan mengitar semua isu lama.

"Sekiranya pembangkang membawa isu tanah, ia adalah isu yang sedang kita usahakan di peringkat DUN dan parlimen ketika ini. Dalam masa setahun lagi, penduduk akan mendapat geran tanah masing-masing," ujarnya.

Jelas beliau, sejak 2000, daripada 14 buah kampung di kawasan ini sebanyak 3/4 geran tanah untuk kampung tradisi telah dikeluarkan.

"Semalam, kita telah dimaklumkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Kuching bahawa geran TOL dan tanah akan dikeluarkan dan kampung di kawasan itu sedang dalam proses penyukatan," katanya.

Selain isu tanah, Abdul Rahman berkata, pembangkang menjadikan isu projek pembangunan yang dilakukan oleh pihak pemaju dan kontraktor yang tidak memenuhi spesifikasi sejak dua bulan lepas dalam kempen pilihan raya mereka.

Menurutnya, perkara seperti itu pernah berlaku di semua tempat dan pihaknya tidak dapat memberi jaminan 100 peratus bahawa setiap kontraktor terutamanya dari kelas F akan mengikut spesifikasi ditetapkan pejabat daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Maka akan berlakulah satu, dua projek yang pincang seperti parit tidak berfungsi dengan baik dan jalan raya tidak lengkap. Tapi itu bukan menunjukkan kelemahan kerajaan sebaliknya merujuk kepada sikap kontraktor itu sendiri. Kita sudah bincangkan perkara ini dengan pejabat daerah dan ia dalam perhatian kita," jelas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menyangkal dakwaan pembangkang bahawa ramai golongan belia di kawasan itu terjebak dengan isu gejala sosial akibat proses urbanisasi.

"Masalah ini berlaku di semua tempat yang melalui proses urbanisasi. Namun kita dapat lihat beberapa transformasi dari kalangan belia kita, mereka sudah bersama-sama melibatkan diri dengan aktiviti sihat. Kita tidak dapat menangani masalah itu seratus peratus tetapi kita dapat lihat pengurangannya pada hari ini," tegasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain