suria

PRN Sarawak: Calon PKR Pertikai Keupayaan Abang Johari

KUCHING: Sebaik sahaja sah diumumkan bertanding, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Ahmad Nazib Johari membangkitkan isu usia lawannya daripada Barisan Nasional (BN) dan mahu pengundi menilai kemampuan memimpin pemimpin senior berkenaan.

Menurut beliau, isu sama ada calon BN, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berpengalaman ataupun tidak bukan perkara pokok yang perlu ditimbulkan.

"Bagi saya tidak timbul isu pertandingan ini sengit ataupun tidak walaupun lawan saya itu berpengalaman.

"Sebaliknya saya mahu pengundi melihat ia lebih kepada persaingan antara calon tua dan calon muda," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon Dewan Datuk Merpati Jepang, Satok di sini, Rabu.

Pada pilihan raya Sarawak yang akan diadakan pada 16 April depan, Ahmad Nazib berhadapan Abang Johari yang disifatkan sebagai calon 'heavy weight' BN.

Abang Johari merupakan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar negeri.

Ahmad Nazib, 35, seorang peguam merupakan muka baru yang dipertaruhkan PKR bagi merampas kerusi DUN Satok daripada Abang Johari, 61, yang sudah menjadi wakil rakyat selama tujuh penggal di kawasan berkenaan.

Selain itu Ahmad Nazib yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak menegaskan, berdasarkan pengalamannya dalam bidang guaman, beliau yakin dapat membawa perubahan kepada pengundi dan penduduk di DUN Satok.

"Saya yakin dengan kekuatan sebagai orang muda, jiwa muda dan pemikiran muda, saya dapat bawa perubahan di sini," katanya yang mula menetap di Satok sejak 2008.

Sementara itu Abang Johari ketika ditemui berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menghadapi tentangan calon muda seperi Ahmad Nazib kerana ia bukan pertama kali baginya.

"Kali ini saya menghadapi calon daripada PKR dan ini bukanlah baru kerana pernah menghadapi PKR sebanyak tiga kali dan calon-calonnya semua daripada golongan muda iaitu AMK PKR," katanya.

Katanya lagi, pengundi di DUN Satok akan terus memberi sokongan kepada BN berdasarkan rekod cemerlang parti itu membangunkan penduduk dan negeri.

"Mereka tahu prestasi yang telah dilakukan BN, lebih-lebih lagi kita tahu PKR tidak mempunyai pengalaman untuk mengurus tadbir negeri lebih-lebih lagi penduduknya.

"Saya yakin bahawa rakyat Sarawak boleh menilai yang mana intan dan mana kaca. Tentu sekali kita mahukan satu pentadbiran yang baik dan dekat dengan rakyat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain