suria

PRN Sarawak: Abdul Taib Ditentang Calon Bebas, PKR

MUKAH: Seperti yang dijangkakan, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berdepan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dalam pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini.

Taib, yang bertanding bagi penggal ketujuh dan mempertahankan kerusi DUN Balingian bagi penggal ketiga, ditentang oleh sepupunya Datuk Salleh Jafaruddin yang bertanding atas tiket Bebas serta calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Suriati Abdullah.

Beliau tiba di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah pada 9 pagi manakala Salleh, yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, tiba lebih awal pada 7.20 pagi. Suriati pula tiba pada pukul 9.15 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Balingian, Mohamad Nawawi ketika mengumumkan nama calon yang akan bertanding, berkata Taib menyerahkan borang pencalonan pada 9.20 pagi, diikuti Suriati pada 9.36 pagi dan Salleh pada 9.44 pagi.

"Kami menerima tiga bantahan. Bagaimanapun, ketiga-tiga bantahan itu ditolak," katanya yang enggan menjelaskan bantahan terbabit.

Bantahan itu menyebabkan nama calon yang bertanding hanya diumumkan pada pukul 12.15 tengah hari, iaitu satu jam 15 minit selepas tamat waktu bantahan pada pukul 11 pagi.

Terdahulu, Taib, yang diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkumpul bersama kira-kira 5,000 penyokongnya sejak 7.30 pagi di Masjid Setia Raja Mukah sebelum berarak sejauh dua kilometer ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah.

Yang turut mengiringi Taib ialah isteri beliau, Puan Sri Ragad Waleed Taib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Anggota Parlimen Mukah Datuk Seri Muhammad Leo Toyad dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Salleh Tun Said Keruak.

Perarakan itu melalui Boulevard Setia Raja ke pekan lama Mukah sebelum melalui jalan Mohd Pauzi, lokasi di mana terletaknya Dewan Suarah Mesra Mukah itu.

Salleh, 67, yang ditemani isterinya, Datin Sharifah Hajijah Syed Jamil, paling awal tiba di pusat penamaan calon iaitu pada pukul 7.20 pagi ketika para pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya masih bersiap-siap untuk memulakan proses pencalonan.

Beliau yang turut ditemani oleh seorang lagi bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis di samping dua penyokong, menyangkakan pencalonan dibuka pukul 8 pagi walaupun proses pencalonan hanya bermula pada 9 pagi.

Ditanya cara beliau akan menjalankan kempennya, Salleh, yang berasal dari Kuala Balingian, dekat sini berkata beliau akan menggunakan pendekatan kempen dari rumah ke rumah.

Bagaimanapun, beliau tidak membuka sebarang pusat operasi kecuali menggunakan kenderaannya sebagai pusat operasi bergerak.

Ketika menunggu tempoh pencalonan tamat, berlaku sedikit kekecohan apabila Salleh menerpa ke arah khemah penyokong BN dan memarahi seorang wanita berambut perang yang dikatakan rapat dengan keluarga Taib.

Suriati pula yang bertanding buat kali pertama berkata beliau akan membangkitkan isu alam sekitar akibat pembinaan kilang aluminium selain perlombongan arang batu di kawasan terbabit.

"Saya akan membangkitkan isu-isu itu demi keadilan untuk orang ramai," katanya ketika ditemui selepas mengemukakan borang pencalonan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain