suria

Polis Rampas Syabu RM17.9 Juta dan Wang Tunai RM7.1 Juta

KUALA LUMPUR: Polis telah merampas syabu bernilai RM17.9 juta dan wang tunai berjumlah RM7.1 juta serta beberapa mata wang asing dalam operasi besar-besaran yang dilancarkan di sekitar ibu kota pada Selasa.

Syabu yang berjaya dirampas dalam operasi berkenaan adalah seberat 71.4 kg milik satu sindiket yang didalangi dari Iran.

Polis juga berjaya menahan sembilan suspek warganegara asing termasuk empat wanita serta merampas lima buah kenderaan, 26 utas jam tangan berjenama mewah serta dua komputer riba.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Komisioner Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, tangkapan pertama dibuat apabila serbuan dilakukan di sebuah unit apartmen di Jalan Inai.

Di situ katanya, pihak polis telah berjaya merampas syabu seberat 69kg. Unit apartmen itu dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan syabu. Menerusi maklumat yang diperolehi hasil daripada tangkapan pertama itu, polis telah menahan suspek kedua di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Suspek kedua pula telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di Sentul di mana pihak polis telah menemui syabu seberat 2kg,” katanya dalam satu sidang akhbar, Rabu.

Lain-lain anggota sindiket berkenaan kemudiannya telah ditangkap di beberapa lokasi yang berbeza termasuk di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Katanya lagi, hampir di kesemua tempat dan rumah yang diserbu, pihak polis telah menemui wang tunai hasil jualan syabu yang dipercayai akan dihantar kembali ke Iran.

Komisioner Noor Rashid juga memberitahu, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan memperolehi bekalan dadah mereka dari Iran sebelum mengedarkannya di negara ini, Indonesia, Jepun, Australia dan New Zealand.

“Kami juga dapati, sindiket ini baru sahaja beroperasi lebih kurang sebulan di sini,” ujarnya.

Kesemua suspek yang berumur di antara 25 hingga 38 tahun telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain