suria

Peniaga Bebas Tuduhan Siar Komen Hina Sultan

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga pada Rabu dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan pindaan menghantar komen yang menghina Sultan Perak Sultan Azlan Shah menerusi portal Internet.

Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Muslim Ahmad, 55.

Pada 21 Jun lepas, Komathy melepaskan dan membebaskan Muslim selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kes itu.

Bagaimanapun, pada 8 Disember lalu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha memerintahkan Muslim dipanggil membela diri untuk memberi keterangan pembelaannya selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Muslim menghadapi tiga pertuduhan pindaan iaitu menghantar komen yang jelek sifatnya melalui portal negeri, www.perak.gov.my, pada 2.21 petang 7 Februari tahun lepas. Dia juga didakwa melakukan kesalahan serupa pada 2.27 petang hari yang sama, dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukannya sekali lagi pada 4.39 petang 8 Februari 2009.

Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di alamat No. 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini.

Muslim, yang diwakili peguam K. Periasamy, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain