Pegawai Kastam Ditemui Maut Dipercayai Terjatuh di Bangunan SPRM - Semasa | mStar

Pegawai Kastam Ditemui Maut Dipercayai Terjatuh di Bangunan SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pengarah kastam Selangor, yang ditahan semalaman pada 1 April lepas bagi membantu siasatan kes rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram, telah ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini pagi Rabu.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali dalam satu sidang media di pejabat itu memberitahu, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, telah ditemui mati kira-kira jam 10.15 pagi.

"SPRM mengesahkan bahawa penama berkenaan adalah di antara pegawai Kastam yang telah ditahan pada 1 April 2011 jam 1 tengah hari di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Kelang.

"Penama tersebut setelah membantu dalam siasatan yang melibatkan operasi 3B iaitu satu siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, telah dilepaskan melalui jaminan pada hari Sabtu 2 April 2011 pada jam 12.30 tengah hari," katanya.

Beliau berkata mangsa, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang, telah meninggalkan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas dilepaskan melalui jaminan tersebut.

Mustafar menambah, bagaimanapun pada jam 8.26 pagi Rabu, mangsa telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan bersendirian dengan menunggang sebuah motosikal.

Difahamkan mangsa datang sendiri tanpa diarahkan ke pejabat SPRM itu, yang baru siap dibina dan diguna pakai Disember lepas.

Beliau berkata, mangsa datang untuk bertemu pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya dan oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat, maka mangsa menunggu di lobi pejabat sehingga pukul 9.30 pagi.

Menurutnya lagi, mangsa kemudian telah diiringi oleh seorang pegawai ke bilik pejabatnya sebelum pergi mendapatkan pegawai penyiasat yang ingin ditemui oleh mangsa tersebut.

Pegawai yang mengiringi mangsa tersebut berada bersamanya dalam bilik pejabat pegawai berkenaan buat seketika. Mustafar berkata, namun demikian pada kira-kira pukul 10.15 pagi, pegawai yang mengiringi mangsa telah meninggalkan mangsa tersebut di pejabatnya dan keluar sebentar untuk mendapatkan pegawai penyiasat yang dicari itu. "Dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut kembali ke pejabatnya dan mendapati mangsa telah tiada dalam bilik berkenaan. Setelah mencari dalam kawasan pejabat, seorang pegawai terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat 1 bangunan pejabat ini," katanya.

Menurut beliau lagi, SPRM telah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga Ahmad Sarbani dan pihak pengurusan jabatannya serta menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengambil sebarang tindakan.

Pada 2 April lepas, Mustafar mengumumkan pada sidang media bahawa SPRM telah menahan 62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerusi Operasi 3b kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Ia membabitkan 53 pegawai lelaki serta sembilan wanita berusia antara 24 dan 56 tahun, termasuk seorang berjawatan pengarah.

Mustafar berkata, operasi yang membabitkan serbuan di lima pelabuhan utama negara termasuk Pelabuhan Klang telah menyaksikan 48 orang ditahan.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di mana mayat Ahmad Sarbani dihantar untuk dibedah siasat, mendapati anggota keluarganya berada di persekitaran bilik mayat sejak kejadian itu dimaklumkan kepada mereka.

Namun sehingga berita ini ditulis, media elektronik dan cetak dihalang menemuramah anggota keluarga Ahmad Sarbani oleh pegawai Kastam.

Pihak hospital juga tidak memaklumkan waktu bedah siasat itu selesai yang kelak dapat merungkai keputusan pakar patalogi mengenai punca kematian mangsa.

Sumber hospital bagaimanapun memberitahu Bernama, bagi kes berprofil tinggi seperti kejadian ini, ia memerlukan masa untuk bedah siasat disiapkan di mana ada wujudnya kemungkinan bedah siasat kali kedua.

Ini bagi membolehkan pihaknya mendapatkan keputusan bedah siasat yang betul dan sahih serta tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak kelak.

Dalam pada itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman, yang turut berada di HUKM, memberitahu media bahawa pihak Kastam perlu diberikan masa secukupnya bagi menenangkan keadaan ketika ini.

"Pihak kami akan memberikan bantuan kepada keluarga Ahmad Sarbani dan semua pihak diminta tidak mengeruhkan keadaan," katanya.

Usaha menghubungi Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf yang berada di Tasik Kenyir, Terengganu untuk mendapatkan komennya gagal, tetapi seorang pegawainya berkata beliau (Mohamed Khalid) akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini (Rabu).

Mohamed Khalid berada di Tasik Kenyir untuk mempengerusikan Mesyuarat Pengarah Kastam SeMalaysia ke-65 yang bermula semalam.

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Pekerja-Pekerja Kastam Malaysia, Mohd Mazlan Mohd Shaari yang dihubungi pula berkata pihak kesatuan belum memutuskan sebarang pandangan atau keputusan mengenai kes kematian itu dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.

"Kejadian itu baru berlaku dan kita tidak tahu sangat mengenainya dan kita tunggu siasatan polis," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai sama ada kes kematian itu mempunyai kaitan dengan kes rasuah yang membabitkan pegawai kanan kastam sebelum ini.

"Kita akan mengadakan sidang media mengenai kes itu Jumaat ini dan kita akan menyatakan pandangan kesatuan mengenai perkara itu," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Sarbani.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

Artikel Lain