Pasangan Kekasih Lemas Di Tapak Perkelahan Gunung Berembun - Semasa | mStar

Pasangan Kekasih Lemas Di Tapak Perkelahan Gunung Berembun

SEREMBAN: Dua pasangan remaja yang berkelah di air terjun Gunung Berembun di sini, Rabu dirempuh 'kepala air' menyebabkan seorang remaja wanita mati lemas manakala pasangan kekasihnya hilang dihanyutkan arus deras itu.

Mayat Khairulhiza Khairul, 18, dari Mambau ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian pada pukul 4.30 petang.

Usaha mencari Mohd Rozane Baddarudin, 19, dari Klang yang dihanyutkan 'kepala air' itu masih diteruskan, kata Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Abu Bakar Katain.

Beliau berkata, pasangan itu bersama dua lagi rakan mereka Mohd Halim Shiddik, 19, dan Nurul Faezah Noor, 19, dari Kuala Kubu Baharu ke kawasan air terjun itu untuk berkelah pada pukul 12 tengah hari.

"Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3 petang semasa mereka sedang bersiap untuk balik dan berada di tepi tebing.

"Mereka dirempuh oleh kepala air yang datang secara tiba-tiba selepas hujan di kawasan pergunungan itu...air naik dengan tiba-tiba dengan arus yang kuat menyebabkan dua daripada mereka hanyut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Khairulhiza adalah jurujual di pusat membeli belah Terminal One, di sini manakala tiga lagi remaja terbabit merupakan pelajar Kolej Negeri.

Nurul Faezah berkata mereka datang ke air terjun itu dengan dua buah motosikal

"Kami sedang berkemas dan hujan turun renyai-renyai. Tiba-tiba datang arus sungai yang kuat dan merempuh tebing. Saya sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada kayu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain