suria

Msia Bekal Produk Ayam Daging Beku Ke Oman

PUTRAJAYA: Malaysia akan menjadi negara Islam pertama mengeksport produk ayam daging beku halal ke Oman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab terhadap Unit Perancang Ekonomi, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Ia berikutan termeterainya fasa pertama kontrak pembekalan ayam daging beku halal bernilai RM120 juta antara pembekal tempatan, Mutiara Bernas (M) Sdn Bhd dan Global Food Solutions LLC beribu pejabat di Muscat, Oman.

"Kontrak tersebut bersama dengan perkembangan selanjutnya dijangka menjana Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang mencecah RM100 juta," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani kontrak itu.

Nor Mohamed berkata, Oman juga akan menjadi pintu masuk ke negara-negara Teluk yang sebelum ini mengimport produk sama dari Amerika Selatan dan Eropah.

Beliau menambah, Oman sendiri mengimport kira-kira 76,000 tan metrik bekalan ayam beku setahun, di mana 80 peratus keperluan makanan negara itu adalah dari sumber import.

Nor Mohamed berkata, negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Oman mengimport 1.2 juta tan metrik bekalan ayam beku setahun bagi memenuhi keperluan 42 juta penduduk.

Bagi fasa pertama, Mutiara Bernas akan mula membekalkan produk tersebut pada bulan Jun ini, dengan jumlah kira-kira 12 juta ekor ayam setahun.

Mutiara Bernas adalah pengeksport untuk pengeluar ayam daging bagi AYAMAS Corp, Persatuan Penternak Negeri Johor dan sedang mengenal pasti pembekal lain.

Nor Mohamed berharap kontrak pembekalan ini menjadi titik tolak dalam merancakkan dagangan antara 57 negara di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dilihat masih berkurangan, iaitu sekitar 10 peratus.

"Rata-rata negara-negara OIC mendapatkan bekalan dari negara ke-tiga dan tidak melakukan secara terus," katanya.

Ditanya sama ada permintaan akan berkekalan berikutan krisis di Timur Tengah, Nor Mohamed berkata daging ayam akan menjadi sumber alternatif bagi protein berikutan harga daging merah yang meningkat 40 peratus berbanding harga ayam sekitar 20 peratus.

Sementara itu, Pengerusi Global Food Solutions LLC Ali Nasser Al Salmi berkata fasa seterusnya akan melihat pengimportan bahan mentah halal yang lain.

Katanya, pasaran negara Teluk amat besar dan dianggarkan penjualan boleh mencecah antara RMM300 juta dan RM500 juta setahun dalam masa jangka hayat kontrak selama 10 tahun.

Global Food Solutions LLC adalah anak syarikat Muscat Bakery, Oman, pengedar bahan makanan dan peruncit terbesar di negara itu.

Kerjasama antara Mutiara Bernas dan Global Food Solutions LLC ini adalah di atas platform yang disediakan oleh Yayasan Ekonomi Sejagat (YES) di bawah Program Rantaian Bekalan Halalan Toyyiban (RBHT).

RBHT yang direka bentuk sebagai sebuah Model Pembangunan Ekonomi dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Artikel Sebelum

Artikel Lain