suria

Kes Denggi Meningkat, Satu Kematian Di Selangor

KUALA LUMPUR: Sebanyak 336 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan dalam tempoh 27 Mac hingga 2 April iaitu peningkatan 35 kes berbanding 301 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata kematian itu melibatkan seorang wanita berusia 43 tahun dari Selangor yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Akaun di sebuah syarikat swasta.

"Penyiasatan mendapati lokaliti kediaman kes adalah kawasan wabak denggi dengan kadar pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi. Pembiakan yang dijumpai adalah di dalam premis kediaman dan di tanah lapang, di mana pemilik premis kediaman itu sudah dikenakan kompaun RM500," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Beliau berkata terdapat tujuh negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu lepas iaiatu Terengganu meningkat kepada 14 kes, Selangor (sembilan), Johor (lapan), Kelantan (tujuh), Perak (enam), Negeri Sembilan (tiga) dan Pahang (satu).

Dr Hasan berkata sepanjang minggu lepas, 49 lokaliti wabak dikesan di 15 daerah yang dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu empat merupakan lokaliti panas.

Menurutnya "Kawasan panas" di Selangor ialah di Seksyen 4 Bandar Rinching, Hulu Langat, Taman Nirwana manakala kawasan panas lain ialah di Kuala Lumpur iaitu Rumah Kediaman Angkatan Tentera (RKAT) Ampat Tin dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana di Jalan Peel di sini.

Bagi kes penyakit Chikungunya, dua kes dilapor bagi tempoh 27 Mac hingga 2 April berbanding satu kes pada minggu sebelumnya.

Kedua-dua kes itu masing-masing berlaku di Selangor dan Pahang menjadikan kes terkumpul bagi penyakit itu ialah 13 kes.

Jumlah kes itu turun 97 peratus berbanding dengan 508 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain