suria

Dua Lelaki Edar Dadah Dihukum Mati

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, memerintahkan dua lelaki termasuk seorang pemandu teksi dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan bersalah atas tuduhan mengedar ganja, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sufian Abdul Razak membuat keputusan itu terhadap Norisam Akram Mullah, 39, dan Lee Kum Choy, 46, selepas menolak pembelaan mereka yang disifatkan sebagai penafian semata-mata.

Pada penghakimannya, beliau berkata, mahkamah tidak dapat menerima pembelaan Lee yang mendakwa dia sebenarnya meronda-ronda kawasan kejadian untuk mencari penumpang.

"Keterangan pembelaan Lee tidak dapat diterima kerana tidak ramai orang yang berada di kawasan tersebut pada pukul 1 pagi.

"Tujuan Lee dan Norisam adalah dengan niat bersama untuk mengedar dadah tersebut dan tertuduh mempunyai kawalan dan pengetahuan tentang dadah," katanya.

Selain itu, Mohd Sufian juga tidak mempercayai keterangan Norisam yang mendakwa dia berada di tempat kejadian kerana berjumpa dengan seorang lelaki bernama Along atau Ahmad Najib untuk berbincang tentang kerja.

Tambah beliau, tertuduh juga tidak boleh memberikan butir-butir terperinci mengenai Along selain perkara itu tidak dikemukakan semasa kes masih di peringkat pendakwaan.

Mohd Sufian juga berkata, keterangan saksi mengatakan bahawa Norisam telah membuka tempat letak barang teksi yang mengandungi lima ketulan ganja seberat 4749 gram yang disimpan di dalam sebuah beg hitam.

Sebaik sahaja diserbu, Norisam telah mencampakkan beg tersebut dan melarikan diri manakala teksi dipandu dalam keadaan mengundur menyebabkan polis melepaskan tembakan ke arah tayar teksi.

Justeru itu, Mohd Sufian berpendapat pembelaan tertuduh gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan mengedar yang didakwa dilakukan pada pukul 2.30 pagi, 19 Januari 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kawasan simpang tiga, sekitar blok H, Flat Kemajuan Perbadanan Negeri Selangor (PKNS), Sentul, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Begum Abdul Ghani mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Artikel Sebelum

Artikel Lain