suria

Video Seks: Perlu Kaji Undang-Undang Sebelum Tindakan Diambil

KUCHING: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengkaji peraturan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum mengambil tindakan berhubung pendedahan video klip seks yang dikatakan melibatkan pemimpin pembangkang.

Menterinya, Datuk Seri Rais Yatim berkata kajian akan dibuat terutama di bawah Seksyen 213 atau Seksyen 233 akta tersebut.

Beliau berkata pada masa yang sama, kementerian juga akan meneliti daripada sudut undang-undang berhubung tindakan beberapa pihak yang memuatkan video atau bahan-bahan yang menyentuh perkauman dan kedaulatan raja-Raja dalam blog mereka.

Mereka yang didapati melanggar undang-undang negara berkaitan perkara seumpama itu akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Tanpa Wayar Sileng Dayak dan program merakyatkan seni budaya 1Malaysia di Lundu, dekat sini, Selasa. Mengenai pelaksanaan Kampung Tanpa Wayar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Rais berkata sebanyak 3,100 Kampung Tanpa Wayar akan dibangunkan sepanjang suku pertama tahun ini hingga hujung tahun depan.

Setakat ini SKMM telah mewujudkan 600 Kampung Tanpa Wayar di Sarawak, katanya.

Kampung Tanpa Wayar Sileng Dayak, yang mempunyai 360 penduduk merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah pelaksanaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Nasional yang berobjektif merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Ketua Adat Kampung Sileng Dayak, Asisten Supritendan Benjamin Gersit Jais berkata, beliau yakin perkhidmatan berkenaan akan meningkatkan lagi khidmat komunikasi di kawasan itu selaras dengan konsep 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan".

Turut hadir Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu. - BERNAMA

Artikel Lain