suria

PRN Sarawak: BN Calonkan Willie Untuk Ba'kelalan

LUNDU: Barisan Nasional (BN) mempunyai tiga calon bagi Ba'kelalan untuk dipertimbangkan sebelum Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) menamakan Ketua Pemuda kawasan itu, Willie Liau bagi mempertahankan kerusi berkenaan lewat malam Isnin.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata tindakan BN seperti itu tidak menggambarkan bahawa bakal berlaku persaingan sengit di kerusi berkenaan.

Katanya, BN semangnya mahu menampilkan muka baru pada pilihan raya kali ini.

"Ini adalah taktik (politik), kita sebenarnya ada tiga calon bertanding di Ba'kelalan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kem Bina Negara Sampadi di sini, Selasa.

Teka-teki siapa calon BN bagi kerusi Ba'kelalan bagi pilihan raya Sarawak akhirnya terjawab apabila Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) menamakan Willie bagi mempertahankan kerusi itu.

Nama Willie yang juga seorang peguam berusia sekitar 30-an diumumkan Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan.

Beliau akan berdepan dengan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

Sementara itu diminta mengulas mengenai keputusan PKR mengumumkan untuk bertanding di 48 kerusi pada pilihan raya yang akan diadakan pada 16 April depan, beliau berkata ia merupakan sesuatu yang tidak masuk akal.

"Mengapa saya harus komen kepada sesuatu yang tidak masuk akal? Saya tak tahu apa yang mereka ingin lakukan," katanya.

Artikel Lain