suria

Politeknik Metro Dibina Di Betong, Sarawak

TELAGA AIR: Sebuah Politeknik Metro akan dibina di kawasan Betong selepas penubuhan dua politeknik sedia ada iaitu di Kuching dan Mukah pada tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa ketika mengumumkan perkara itu berkata, pembinaan politeknik yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) itu akan menawarkan kursus yang berkaitan dengan bidang perkhidmatan seperti hospitaliti, perakuanan dan teknologi maklumat (IT).

"Sebanyak 60 peratus komponen terbesar dalam ekonomi negara maju melibatkan sektor perkhidmatan. Jadi kita perlu melahirkan ramai tenaga mahir dalam sektor itu.

"Oleh itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan Politeknik Metro yang akan dirasmikan di Kuala Lumpur terlebih dahulu dan dikuti di tempat lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri projek komuniti oleh Politeknik Kuching di Dewan Masyarakat, Kampung Temenggong di sini, Selasa.

Khaled berkata, lawatan tapak telah dibuat dan kos pembinaannya melibatkan perbelanjaan bernilai RM20 juta.

"Untuk kemasukan pertama, politeknik itu akan mengambil 1,500 pelajar. Jadi, saya menggesa pelajar di Sarawak untuk menghantar permohonan memasuki politeknik ini. Ia juga turut menawarkan kursus baru yang ada kaitan dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)," ujarnya.

Setakat ini, seramai 6,309 penuntut dari Sarawak melanjutkan pelajaran di politeknik seluruh negeri.

Jelas beliau, Politeknik Kuching kini mempunyai hampir 4,000 penuntut berbanding jumlah kapasiti sebenar iaitu 5,000 tempat yang ditawarkan.

"Jadi penuntut dari Sarawak ada banyak ruang dan peluang untuk melanjutkan pelajaran kerana negara memang memerlukan mereka yang memiliki kelayakan Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT)," katanya.

Mengulas mengenai jawatan yang ditawarkan pada 2020, Khaled Nordin berkata, sejumlah 6,800 kekosongan akan diisi mereka yang memiliki kelulusan diploma, kebanyakannya dari graduan politeknik.

Sementara itu, beliau berkata politeknik juga akan memperkenalkan program baru iaitu memendekkan tempoh pembelajaran kepada dua tahun setengah bagi pelajar cemerlang dan membangunkan bidang Artikulasi.

"Pihak politeknik akan bekerjasama dengan empat universiti teknikal yang terdapat di negara ini bagi membolehkan pelajar menyambung pelajar ke peringkat universiti. Penuntut juga akan diberi gambaran jelas mengenai peluang karier mereka untuk menjadikan politeknik sebagai alternatif kepada pengajian akademik," ujarnya.

Artikel Lain