suria

Polis Perhati Ceti Haram - Bakri

KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau pelbagai modus operandi ceti haram untuk mengiklankan perkhidmatan mereka, kata Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin.

Beliau berkata, PDRM menganggap gejala ceti haram sangat serius dan mempunyai pasukan khas untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan yang perlu bagi membanteras sindiket pinjaman ceti haram ini.

"Polis telah bertindak dengan tegas terhadap pinjaman ceti haram ini. Sejak 2009, sejumlah 96 orang telah diambil tindakan bagi kesalahan berkaitan pinjaman ceti haram.

"Jumlah laporan daripada orang ramai yang telah diganggu berterusan oleh ceti haram ini telah menurun dengan mendadak," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Merujuk pada satu laporan mengenai ceti haram meletakkan iklan di teksi dan mengenakan kadar faedah yang tinggi yang disiarkan dalam akhbar The Star Jumaat lepas, Bakri menegaskan, PDRM telah mengadakan perbincangan dengan agensi penguatkuasaan berkaitan mengenai isu ceti haram yang mengiklankan perkhidmatannya di tempat awam.

Mohd Bakri turut menggesa orang ramai yang telah diganggu berterusan, mengancam atau dicederakan oleh ceti haram tampil dan membantu polis dalam membanteras gejala ceti haram.

Artikel Lain