suria

Lebih 100 Telefon Bimbit Tiruan Dirampas Di Karnival IT Port Dickson

PORT DICKSON: Orang ramai diminta berhati-hati apabila membeli telefon bimbit di tapak-tapak karnival menjual peralatan komputer dan elektronik di seluruh negara berikutan ada peniaga dikesan menjual telefon bimbit tiruan.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Port Dickson Yusuf Bakar berkata, perbuatan itu dikesan selepas pasukannya merampas 143 unit telefon bimbit tiruan bernilai RM80,000 dalam satu operasi di Dataran Rembau minggu lepas.

Rampasan yang dibuat itu melibatkan 10 tapak gerai di karnival itu, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Rabu.

"Mereka akan mempamerkan telefon bimbit yang asli di ruang pameran gerai mereka tetapi selepas pembeli bersetuju dengan harga tawaran, mereka akan membuat keadaan seperti kelam kabut sebelum menukarkan telefon asli itu dengan telefon tiruan yang disimpan di bawah kaunter," katanya.

Modus operandi para peniaga di tapak karnival ini turut dikesan di Senawang sebelum ini dan beliau percaya peniaga terbabit mempunyai rangkaian di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain