Identiti Rakyat Malaysia Diculik Di Ivory Coast Belum Dikenal Pasti - Semasa | mStar

Identiti Rakyat Malaysia Diculik Di Ivory Coast Belum Dikenal Pasti

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengenal pasti identiti seorang rakyat Malaysia yang dikatakan diculik di Hotel Novotel di bandar Abidjan, Ivory Coast pada Isnin.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman hari ini berkata Duta Besar Malaysia di Conakry, Guinea telah diarah untuk ke Ivory Coast bagi mengesahkan laporan itu dan mengenalpasti rakyat Malaysia yang dimaksudkan.

"Jika laporan itu benar, kerajaan Malaysia akan berusaha untuk membebaskan rakyat Malaysia itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra di sini, Selasa.

Beliau berkata menurut Kedutaan Besar Malaysia di Conakry, terdapat 10 rakyat Malaysia dan anggota keluarga mereka yang bekerja dan bermastautin di Abidjan, Ivory Coast.

Anifah berkata Kementerian Luar sedang berusaha memindahkan kesemua mereka keluar dari Ivory Coast.

"Kementerian akan terus memantau perkembangan di sana sehingga rakyat kita selamat dipindahkan keluar," katanya.

Beberapa agensi berita asing hari ini melaporkan bahawa seorang rakyat Malaysia, dua rakyat Perancis dan seorang Benin diculik oleh sekumpulan enam atau tujuh lelaki bersenjata yang menceroboh masuk ke hotel itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Itu Bukan Anwar - Wan Azizah

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Saya tak kenal wanita itu" - Issey