suria

Bekas Timbalan Pengurus Yayasan Selangor Didakwa Terima Rasuah RM45,000

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor, Saifulruddin Sulaiman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menerima rasuah RM45,000 yang didakwa berkaitan dengan majlis sambutan 40 tahun yayasan tersebut.

Saifulruddin, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Tertuduh yang telah dipecat daripada yayasan didakwa menerima wang suapan tersebut dalam bentuk wang tunai RM20,000 daripada pengurus syarikat pengurusan acara, Drift Z Enterprise, Husni Hirzi Abd Rahim pada pukul 8 malam, 5 Oktober 2010.

Suapan itu didakwa sebagai upah untuk tertuduh memilih dan melantik syarikat tersebut sebagai pengurus acara bagi majlis sambutan tersebut yang mengikut rancangan akan diadakan pada 15 November 2010.

Bagaimanapun majlis tersebut dibatalkan selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan jumlah kos majlis tersebut yang dianggap sebagai pembaziran.

Selain itu, tertuduh juga menghadapi pertuduhan kedua, iaitu menerima wang tunai RM20,000 daripada Husni HIrza pada pukul 9 malam, 25 Oktober 2010 yang didakwa sebagai upah untuk tertuduh tidak menahan pembayaran kepada syarikat tersebut.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah tertuduh yang terletak di nombor 3, Jalan Platinum 7/43C, Seksyen 7, di sini.

Tertuduh juga didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada Husni Hirzi pada pukul 9 malam, 11 November 2010 yang dikatakan sebagai dorongan untuk dia melepaskan pembayaran tambahan program sebanyak RM93,982.40 kepada syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran The Skewers, Subang Avenue, dekat sini.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Kevin Morais menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dan memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan antara enam hingga 10 saksi.

Peguam tertuduh, Sawmee Ullah Nawzumeah bagaimanapun merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana isteri tertuduh berhasrat untuk menjadi penjamin.

"Isterinya merupakan penolong akauntan dengan pendapatan RM1,600 sebulan dan mempunyai tiga orang anak, iaitu kembar berusia tiga tahun dan lapan bulan.

"Tertuduh juga membayar sewa rumah sebanyak RM1,100 sebulan. Saya mohon agar jaminan dikurangkan kepada RM7,000 kerana jika tidak, ia akan mendatangkan kesusahan kepada keluarga tertuduh," katanya.

Mat Ghani membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan pengurusan kes pada 9 Mei depan sebelum dibicarakan pada 18 hingga 22 Julai depan.

Pada 23 November 2010, media melaporkan bahawa seorang pegawai kanan yayasan tersebut direman selama tujuh hari berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahun ke 40 yayasan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa berlaku pembaziran dalam penganjuran majlis itu kerana kosnya melebihi RM800,000.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula pada satu sidang akhbar yang diadakan pada 15 November memberitahu, pegawai kanan terbabit telah diarahkan untuk bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai.

Pada 18 Mac lalu, Khalid mengesahkan pegawai tersebut telah dipecat daripada jawatannya.

Artikel Lain