suria

Shahrizat Mahu Polis Cepatkan Siasatan Kematian Murid

KUANTAN: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu polis melakukan siasatan terperinci dan cepat berhubung kes seorang murid Tahun Satu yang dikatakan dipukul seorang guru di asrama sehingga menyebabkan kematian.

Shahrizat yang kesal dengan kejadian itu, berkata siasatan pantas pihak polis adalah bagi membolehkan pihak yang terbabit segera dihadapkan ke mahkamah. "Perkata sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi dan tidak boleh berlaku lagi, siasatan rapi dan secepat mungkin perlu dilakukan dan pihak terbabit mesti diheret ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang murid lelaki Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis.

Kanak-kanak itu dikatakan dipukul sehingga koma Khamis lepas dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pukul 8.50 pagi semalam.

Shahrizat berkata institusi sekolah sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak dan kejadian seumpama itu sepatutnya tidak berlaku di negara ini.

Terdahulu, Shahrizat menghadiri majlis perasmian rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK) yang dirasmikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir Sultanah Pahang Sultanah Kalsom dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Berucap pada majlis itu, Shahrizat berkata rumah kanak-kanak itu dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan rumah berkenaan adalah yang pertama di Malaysia bagi melatih tenaga kerja profesional dan cemerlang dalam pemeliharaan, perlindungan dan pembangunan kanak-kanak.

"Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom disasarkan sebagai pusat kecemerlangan pemeliharaan, perlindungan dan pembangunan kanak-kanak di Malaysia dan rantau Asean.

"Rumah ini disasarkan sebagai penanda aras dan pusat rujukan kepada negara-negara Asean. Latihan-latihan yang dianjurkan di rumah ini akan melibatkan ahli-ahli akademik, pakar psikologi kanak-kanak serta wakil pertubuhan bukan kerajaan yang arif dalam hal ehwal pembangunan dan kelangsungan hidup kanak-kanak," katanya.

RKKSHK dibina di kawasan seluas 20 hektar di Penor, dekat sini dan boleh menempatkan 300 kanak-kanak dan RKKSHK yang telah beroperasi pada 15 Dis lepas itu menumpukan kepada kanak-kanak perempuan yang berusia 11 hingga 18 tahun. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain