suria

Pilihan Raya Sarawak Paling Sukar - DAP Sarawak

SIBU: DAP pada Isnin menyifatkan pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini sebagai yang paling sukar bagi parti itu.

Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng berkata parti itu terpaksa berdepan bukan sahaja Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sebuah daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri bagi kerusi bandar tetapi juga kumpulan yang menggelarkan diri mereka "1Malaysia NGO".

Kumpulan itu telah menganjurkan pelbagai aktiviti di beberapa bandar besar di Sarawak sejak beberapa tahun lepas sebagai menyatakan sokongan kepada konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan persekutuan.

Wong berkata sungguhpun kumpulan itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya ini, namun aktiviti mereka mampu menarik beberapa undi daripada DAP.

Sementara itu, NGO berkenaan, menerusi seorang jurucakap, menafikan bahawa kehadiran mereka di bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri.

Wong turut menolak tanggapan bahawa Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), sebuah lagi parti pembangkang di Sarawak, memberi "masalah" di kawasan bandar sungguhpun nampaknya seperti tidak wujud pakatan pembangkang membabitkan PKR-DAP-PAS dan SNAP.

DAP telah mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding bagi 15 kerusi dalam pilihan raya ini iaitu Padungan, Batu Kawah, Simanggang, Repok, Bawang Assan, Pelawan, Bawang Assan, Piasau, Pujut dan Bukit Kota selain mempertahankan kerusi di Pending, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong.

Sementara itu, dalam satu lagi sidang akhbar, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Adun kawasan Padungan, Dominic Ng akan menerima keputusan parti itu untuk bertukar kerusi dengan DAP, membabitkan kerusi Padungan dan Batu Lintang.

Beliau berkata jawatankuasa pemilihan parti berkenaan telah memutuskan untuk mencalonkan See Chee Hua sebagai calon bagi kerusi Batu Lintang.

"Saya harap beliau (Ng) akan menerima keputusan ini sungguhpun saya ada mendengar tentang keputusannya (untuk bertanding sebagai calon bebas di Padungan). Saya harap beliau menimbangkannya semula," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain