suria

Pengawal Keselamatan Edar Ganja Dihukum Gantung

SHAH ALAM: Seorang wanita longlai sehingga tepaksa dipapah oleh anggota keluarga apabila mendengar keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menjatuhkan hukuman mati terhadap suaminya kerana didapati bersalah mengedar ganja, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Ahmad Shafila Mohamad Arshad, 40, pada Isnin, selepas mendapati pembelaannya gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah.

Akhtar berkata, beliau tidak mempercayai keterangan bersumpah tertuduh yang mendakwa dia tidak mengetahui perbincangan yang berlaku antara dua lagi rakan subahatnya dengan agen penyamaran polis dalam urusan jual beli ganja seberat 9482 gram itu.

“Saya percaya kepada keterangan saksi pendakwaan bahawa tertuduh telah ke kereta, membuka pintu dan menunjukkan ganja serta mengira ganja,” katanya.

Tambah Akhtar, tertuduh berniat dan turut memainkan peranan dalam mengedar dadah tersebut, meskipun dua lagi rakan subahatnya dapat melarikan diri semasa sebuan diadakan.

“Tertuduh memainkan peranan utama dengan membawa ganja tersebut dan menyerahkannya kepada agen penyamaran selepas pembayaran dibuat,” katanya.

Justeru itu, Akhtar yang mendengar keterangan 14 saksi pendakwaan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap tertuduh.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, ahli keluarga pengawal keselamatan tersebut menangis teresak-esak.

Tangisan mereka semakin kuat apabila menghampiri tertuduh yang kelihatan tenang menerima hukuman tersebut.

Ahmad Shafila didakwa mengedar dadah itu pada pukul 10.05 malam, 26 Februari 2008 di kawasan Stesyen Minyak Shell, Lot 5729, Batu 6 1/2, Jalan Lingkaran Tengah II, Gombak, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, bapa kepada tiga orang anak tersebut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Yong Leou Shin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hashim.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain