suria

Muhyiddin Pandang Berat Kes Murid Dibelasah Guru Hingga Meninggal

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kes murid sekolah agama yang dibelasah guru sehingga maut merupakan jenayah serius dan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata walaupun sekolah berkenaan bukan di bawah Kementerian Pelajaran, namun perbuatan guru itu tetap tidak boleh dibiarkan kerana ia membabitkan keselamatan murid.

"Sebagai Menteri Pelajaran saya memandang berat sama ada sekolah itu dalam sistem pendidikan atau di luar. Kes mendera sehingga maut pelajar kecil satu tindakan jenayah dan pihak berkuasa harus menyiasat kenapa hal seperti ini berlaku sehingga membawa ajal.

"Bila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah kena memberi perhatian tentang keselamatan mereka, (bukannya mendera mereka) apalagi dilakukan oleh guru yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik anak-anak," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kes murid Tahun Satu sebuah sekolah agama persendirian di Perlis, Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7 yang meninggal dunia semalam selepas tiga hari koma akibat dibelasah gurunya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain