suria

Dr James Yakin BN Terus Kekal Di DUN Pelagus

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Jemut Masing yakin muka baru yang dipertaruhkan parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus pada pilihan raya ke-10 kali ini berupaya mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan.

Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Larry Sng Wei Shin dipecat daripada parti itu, PRS menurunkan calon baru, Stanley Nyitar @ Unja Malang yang dilihat berpotensi besar untuk menang.

"Saya amat yakin PRS akan mengekalkan kemenangan di situ. Kami sudah mengkaji kebolehan calon baru itu dalam tempoh dua tahun lalu.

"Pemilihan calon itu bukan dibuat selama dua atau tiga hari, sebaliknya kajian jangka panjang telah dilakukan untuk mengetahui keupayaan mereka. Oleh itu saya amat yakin kami akan menang," katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon BN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, Ahad.

Ketika ditanya sama ada Datuk Sng Chee Hua, bapa kepada penyandang ADUN Pelagus Larry Sng Wei Shien akan mengganggu kempen pilihan raya di kawasan itu, Masing berkata:"Dia selalu membuat kacau setiap kali pilihan raya. Ia merupakan tabiatnya.

Jadi saya tidak akan terkejut. Begitupun, Masing masih yakin Larry Sng akan terus membantu BN sepanjang kempen pilihan raya walaupun beliau sudah tidak lagi bersama PRS.

"DNA BN masih ada dalam dirinya (Larry Sng). Saya tahu dia tetap setia terhadap parti. Saya harap dia akan membantu parti sepanjang kempen kelak," ujarnya.

Sementara itu, Masing berkata, perkataan calon kitar semua tidak sesuai digunakan terhadap muka baru DUN Ngemah (N.42) Alexander Vincent yang akan bertanding semula pada 16 April ini.

Pada pilihan raya 2006, Alexander tewas kepada calon bebas, Gabriel Adit Demong dengan 549 majoriti undi.

"Calon kitar semua tidak tepat digunakan terhadap beliau. Saya tidak bersetuju. Dia bukan calon kitar semula tetapi tewas tipis kepada calon lawan. William Mawan juga pernah tewas dua kali tetapi dia dipilih menjadi presiden SPDP. Kalah sekali tak bermakna tidak boleh menang semula," tegasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain