suria

Calon Ba'Kelalan Masih Jadi Tanda Tanya

MUKAH: Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'Kelalan terus menjadi tanda tanya apabila Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud enggan mengulas hal itu.

Taib, yang juga Ketua Menteri, berkata BN akan mengumumkan calonnya bagi Ba'Kelalan setelah PKR mengumumkan calonnya.

"Saya ingin tahu siapakah calon daripada PKR (Parti Keadilan Rakyat) dulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berambeh Jegem di Pasar Baru Balingian, dekat sini, Isnin.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan bahawa Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian merupakan calon Ba'Kelalan pada pilihan raya negeri ini.

Baru Bian, yang pernah mencuba nasib di kerusi itu sebanyak dua kali, kalah tipis dengan 475 undi pada pilihan raya negeri 2006.

Ketua Pegawai Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Adenan Satem yang mengumumkan senarai BN calon bagi 71 kerusi tidak menamakan calon bagi kerusi Ba'Kelalan.

Ditanya mengenai desas-desus bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala merupakan 'calon misteri' bagi kerusi Ba'kelalan, Taib bagaimanapun enggan mengulas.

"Kadang kala, saya tidak mengetahui banyak perkara," katanya.

Bagaimanapun, Taib yakin rakyat akan memberi sokongan kepada BN kerana mereka kini lebih matang untuk menilai.

"Rakyat tahu harga undi dan ia telah dikaitkan dengan hasil pembangunan di sesuatu kawasan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain