suria

Bil rawatan termahal di muka bumi...

PENULIS percaya, belum ada sesiapa pun dalam dunia ini yang pernah mengetahui bahawa bil perubatan seorang manusia boleh mencecah RM59.5 juta sehinggalah kes ini menjadi bualan hangat dan dibicarakan di sebuah mahkamah di Singapura beberapa hari lalu. Malah mungkin ini adalah kes yang pertama seumpamanya di dunia dan mencatat rekod dunia sebagai bil rawatan perubatan yang termahal di muka bumi.

Ceritanya begini; Pakar bedah Singapura, Dr Susan Lim pada tahun 2001 telah didatangi oleh keluarga diraja Brunei untuk mendapatkan rawatan ke atas Pengiran Anak Hajah Damit, adik bongsu kepada isteri Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Raja Isteri Pangiran Hajah Anak Saleha. Pengiran Anak Hajah Damit menghidapi sakit kanser payu dara tahap empat. Setelah beberapa tahun merawatnya, pada tahun 2004 Dr Susan Lim telah dilantik menjadi pakar rujuk utama dalam semua rawatan ke atas Pengiran Anak Hajah Damit.

Berdasarkan dokumen mahkamah, bil yang dicajkan ke atas Pengiran Anak Hajah Damit sehingga tahun 2006 adalah berjumlah S$12 juta. Ia dibayar tanpa banyak soal.

Pada tahun 2007, apabila Pengiran Anak Hajah Damit semakin tenat, Dr Susan telah memberikan perhatian khas kepadanya selama enam bulan sehinggalah pesakitnya itu meninggal dunia pada Ogos tahun yang sama. Bil yang dicaj oleh Dr Susan ke atas keluarga kerabat diraja Brunei itu untuk tempoh rawatan selama 153 hari sepanjang tahun 2007 adalah sekitar S$24.8 juta (RM59.5 juta). Dr Susan khabarnya telah mengenakan caj sedemikian tinggi kerana seluruh kehidupan kerjayanya telah didedikasikan untuk merawat Pengiran Anak Hajah Damit walaupun dalam keadaan dia sendiri pada suatu ketika terpaksa menjalani pembedahan mata yang serius. Namun dia masih diminta supaya sentiasa berada di sisi Pengiran Anak Hajah Damit apabila diperlukan.

Dr Susan bagaimanapun memberi diskaun hampir separuh daripada jumlah asal bil tetapi kerajaan Brunei merasakan caj tersebut masih terlalu tinggi lalu mereka menulis surat rasmi kepada Menteri Kesihatan Singapura meminta diskaun untuk kali kedua.

Pengarah Perkhidmatan Perubatan Singapura, Profesor K. Satku yang terkejut dengan jumlah bil yang tersangat tinggi itu kemudiannya telah mengarahkan serbuan dilakukan ke atas klinik Dr Susan dan dokumen perubatan para pesakitnya digeledah dan diperiksa. Kesemuanya sebanyak lima kali serbuan dilakukan atas arahan Satku. Satku kemudiannya telah membuat aduan rasmi kepada Majlis Perubatan Singapura iaitu badan yang mengawal selia profesion perubatan di republik itu.

Ekoran daripada itu, Majlis Perubatan Singapura telah memulakan prosiding siasatan ke atas Dr Susan dan pusat perubatannya. Dan di sinilah isu mengenai caj yang terlalu tinggi ini mendapat perhatian ramai kerana Dr Susan sendiri telah mencabar tindakan siasatan yang dijalankan oleh majlis berkenaan ke atas klinik dan dirinya. Salah satu perkara yang dipertikaikan ialah Profesor K. Satku juga adalah pendaftar Majlis Perubatan Singapura dan oleh yang demikian, peguam Dr Susan mempersoalkan tindakan berat sebelah di dalam proses prosiding kerana orang yang mengarahkan siasatan dilakukan adalah juga orang yang menduduki kerusi penting dalam majlis perubatan itu.

Prosiding siasatan itu bagaimanapun tergendala apabila kesemua anggota panel siasatan meletakkan jawatan selepas dituduh membuat beberapa tindakan berbaur andaian ke atas kes tersebut. Apabila majlis berkenaan membentuk jawatankuasa penyiasat yang kedua, Dr Susan membuat keputusan untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi.

Dalam perbicaraan yang berlangsung pada bulan Mac baru-baru ini, para peguam Dr Susan berhujah, antara lain bahawa caj yang tinggi yang dikenakan oleh anak guam mereka ke atas pesakitnya itu adalah atas persetujuan bersama yang dicapai di antara kedua-dua belah pihak. Cajnya ialah antara S$100,000 hingga S$200,000 sehari.

Sebaliknya mereka menuduh Prof K. Satku, Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan yang juga pendaftar Majlis Perubatan Singapura sebagai pihak yang menghasut Kerajaan Brunei supaya membuat aduan kepada Kerajaan Singapura di atas bil yang tinggi itu dan menggunakan peluang itu untuk menyerbu klinik Dr Susan dan terlibat memilih anggota panel jawatankuasa siasatan.

Kesimpulannya, Dr Susan mahu mahkamah menghalang Majlis Perubatan Singapura daripada meneruskan pembentukan jawatankuasa siasatan kedua bagi menentukan sama ada dia telah mengenakan caj yang berlebihan atau keterlaluan ke atas pesakitnya iaitu ahli keluarga diraja Brunei. Kes ini masih jauh dari menemui jalan penyelesaian. Malah pertanyaan yang perlu dijawab ialah apakah patut wujud had siling kepada apa yang boleh dicajkan oleh seorang doktor ke atas pesakitnya? Ke tahap yang bagaimanakah perubatan akan bertukar menjadi satu bisnes yang lumayan. Yang pasti hanya satu - walau sebanyak mana sekali pun wang yang dilaburkan, ia masih tidak mampu membeli nyawa sebagaimana yang terbukti dalam kes ini...

Ismail Sabri & hal ehwal pengguna...

BUKAN mudah jadi menteri pengguna. Ya, itulah hakikat yang harus diterima oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila beliau sering dipersalahkan dan menjadi mangsa keadaan setiap kali harga barangan dan makanan dinaikkan oleh para peniaga. Ini kerana rakyat secara umumnya memikirkan di atas bahu beliaulah tergalas segala tanggungjawab untuk mengawal harga barangan di negara kita. Hakikatnya tidak begitu. Di negara kita hanya ada tujuh jenis barangan/produk sahaja yang dikawal sepanjang masa oleh kerajaan iaitu (1) Tepung (2) Gula (3) Minyak masak (4) Beras ST15 (5) Gas memasak (6) Petrol RON95 dan (7) Diesel. Selebihnya pasaran yang menentukan harga, bukan kerajaan.

“Yang tujuh senarai ni saya boleh kawal tapi yang lain-lain tu di luar kawalan saya...kadang-kadang tu bila barang atau bahan makanan tidak cukup orang tanya saya kenapa tidak cukup sedangkan ia bukan di bawah kementerian saya kerana kementerian saya tidak mengeluarkan permit import. Ia di bawah kementerian-kementerian tertentu tetapi orang tidak tahu orang minta komen saya,” katanya sambil ketawa ketika majlis pertemuan dengan pengarang-pengarang kanan akhbar dan media tempatan di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Oleh yang demikian atas arahan kabinet, sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Khas Komunikasi Isu Bekalan dan Harga yang diterajui oleh kementerian beliau telah dibentuk bagi mengatasi masalah salah faham dan juga menjelaskan isu-isu semasa berkaitan harga barangan dan juga kepenggunaan.

“Kabinet bersetuju supaya penjelasan dibuat melalui media massa tentang isu-isu berkaitan kenaikan harga. Ini kerana pada sangkaan rakyat, kerajaan wajib mengawal semua harga produk dan barangan...rakyat berpendapat harga barangan tidak boleh dinaikkan tanpa kebenaran kerajaan. Jika naikkan juga, kerajaan kena ambil tindakan undang-undang.

“Hakikatnya ialah kerajaan hanya kawal tujuh jenis barang sahaja. Tetapi kini dengan berkuatkuasanya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang telah pun berkuatkuasa mulai 1 April, mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan ke tahap yang tidak munasabah atau keterlaluan boleh didakwa di mahkamah,” kata Ismail Sabri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain