suria

Warga Emas Bunuh Jiran Dihukum Gantung Sampai Mati

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang warga emas berusia 68 tahun selepas didapati bersalah membunuh jirannya dengan sebilah pisau tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani A. Rahim menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati tertuduh, Lee Chin Hua gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ketika memberi keterangan membela diri.

Lee dituduh membunuh jiran yang tinggal di hadapan rumahnya, Loh Futt Keong, 25, seorang peniaga di rumah bernombor 340, Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar di sini kira-kira pukul 7 pagi, 21 November 2004.

Zamani dalam penghakiman lisannya pada Ahad berkata, keterangan tertuduh semasa membela diri termasuk tujuh saksi bercanggah dengan keterangan saksi-saksi pendakwa dan bahan bukti dalam kes berkenaan.

Beliau turut menolak keterangan tertuduh yang menyatakan bahawa dia menggunakan pisau untuk mempertahankan diri daripada dicederakan simati namun tiada laporan kecederaan ke atasnya.

Tertuduh yang berkemeja-T dan berseluar putih kelihatan tenang sebaik hukuman dijatuhkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Chong Weng Kong dan Jamil Shafie.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain