suria

Pulapol Bebas Dari Adenovirus - Liow

LABIS: Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol)di Kuala Lumpur kini bebas daripada Adenovirus, selepas tiada kes terbaru jangkitan virus itu dilaporkan di pusat latihan berkenaan sejak 19 Mac lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang memberi jaminan kepada orang ramai terutamanya ibu bapa pelatih mengenai keadaan di pusat latihan itu bagaimanapun menggesa pihak pengurusan pusat latihan berkenaan supaya memastikan tahap kebersihan yang tinggi di kawasan itu, agar tiada lagi penularan virus tersebut di masa hadapan.

"Selain kebersihan, pihak Pulapol juga perlu memastikan bahawa sistem pengaliran udara di pusat itu berfungsi dengan baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Bergerak 1Malaysia di SK Kampung Kudong, Bekok di sini, Ahad.

Jangkitan virus itu meragut nyawa tiga pelatih polis yang terdiri daripada Azizan Aziz, 25, Mohd Redzuan Ishak, 26, dan Mohammad Siman, 23, sejak ia dikesan di Pulapol bulan lepas.

Sementara itu Liow berkata Kementerian Kesihatan tidak merancang untuk menempatkan sebuah lagi pengimbas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Baharu bagi mengesan radiasi pencemaran nuklear, kerana semua pelancong dari luar yang memasuki negara menerusi kompleks itu sudah diimbas oleh pihak Singapura di Lapangan Terbang Changi.

Merujuk kepada klinik bergerak yang dirasmikan hari ini Liow berkata bas itu akan digunakan untuk memberikan khidmat kesihatan buat penduduk di luar bandar yang sukar mendapatkan rawatan di bandar, dan selain Johor, klinik bergerak itu turut diperkenalkan di Selangor, Pahang, dan Perak.

Bas untuk klinik bergerak yang dirasmikan hari ini akan ditempatkan di Segamat, dan ia akan memberi perkhidmatan kesihatan kepada 45,000 penduduk di Bekok, Labis dan Chaah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain