suria

Kanak-Kanak Rentung Dalam Kebakaran Di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Permatang Nibong dekat sini, Ahad.

Mohamed Irfan Abdul Rashid, 5, rentung kira-kira 70 peratus dan mayatnya ditemui di tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 11.55 pagi.

"Anggota kami menemui mayat kanak-kanak itu di dalam bilik di bahagian bawah rumah. Mayatnya dipercayai terjatuh daripada bahagian atas rumah yang hangus itu," kata Ketua Balai Bomba Bandar Perda, Hadzi Mohamad Yusuff.

Mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya. Ibu mangsa, Nur Amalina Mat Ariffin, 25, berkata ketika kejadian, dia sedang memasak apabila ternampak api di bahagian atas rumah sebelum menjerit memanggil anaknya yang sedang bermain berseorangan di bahagian atas rumah.

"Pada masa yang sama bapa saya cuba menyelamatkan Irfan tapi gagal apabila api semakin marak dan dia sendiri disambar api," katanya mengenai tindakan bapanya Mat Ariffin Hassan, 61, bagi menyelamatkan cucunya itu.

Suaminya Abdul Rashid Ismail sedang berada di sawah.

"Pada masa kejadian, anak sulung saya Nur Afiqah, 7, telah ke sekolah manakala adik bongsunya, Mohamad Ikmal, 3, dibawa berjalan oleh adik ipar saya. Kalau tidak mungkin perkara lebih buruk akan berlaku," kata Nur Amalina.

Pihak bomba yang menghantar lima buah jentera beserta 25 anggota bagi memadam kebakaran belum mengenal pasti puncanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain