suria

Jumlah Pelajar India Di IPTA Akan Ditambah: Najib

GEORGE TOWN: Jumlah penuntut India di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan ditambah dalam usaha memastikan golongan itu meningkatkan taraf pendidikan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan jumlah kaum itu di IPTA seimbang dengan komposisi kaum India di negara ini.

"Kita akan cari jalan supaya dapat kita tambah jumlah pelajar India di universiti kerana jumlahnya tidak seimbang berbanding jumlah masyarakat India secara keseluruhannya," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kebudayaan India 1Malaysia di sini, Sabtu.

Beliau berkata kerajaan komited memastikan masyarakat India diberi peluang untuk maju dalam semua bidang termasuk pendidikan.

"Saya akan bekerjasama dengan MIC serta parti-parti mewakili masyarakat India dalam Barisan Nasional (BN) supaya mereka dapat pembelaan yang sewajarnya dan saya lihat peluang pendidikan perlu ditingkatkan," katanya.

Seramai 20,000 masyarakat India yang meraikan perayaan Ponggal menghadiri majlis itu.

Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain