suria

Anggota Tentera Sembelih Burung Enggang Digantung Tugas

SHAH ALAM: Seorang pegawai dan empat anggota tentera lain-lain pangkat yang menyembelih seekor burung enggang di Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak baru-baru ini, dikenakan tindakan gantung tugas mengikut Akta Angkatan Tentera 1972.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesemua yang terlibat itu juga akan dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

"Berdasarkan siasatan, ada pemburu lain yang menembak enggang itu sehingga jatuh.

Apabila melihat keadaan burung itu yang lemah (hampir mati), anggota-anggota tentera terbabit telah menyembelihnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Kelab Anak Rantau Bagan Datoh, di sini, Ahad.

Ahmad Zahid berkata walaupun anggota tentera terbabit bukan pihak yang bertanggungjawab menembak burung enggang itu, mereka sepatutnya menyelamatkannya dan bukan bertindak menyembelih burung tersebut.

Sehubungan itu katanya, kementerian tersebut terpaksa mengambil tindakan disiplin ke atas semua anggota tentera terbabit.

Akhbar sebelum ini menyiarkan berita bergambar menunjukkan beberapa anggota tentera sedang memegang seekor burung enggang yang telah disembelih dan gambar itu tersebar di beberapa laman web.

Perbuatan itu mendapat bantahan orang ramai termasuk Persatuan Pencinta Alam.

Sementara itu, mengulas mengenai hari keluarga tersebut Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata ia bertujuan memupuk kemesraan anak-anak rantau dari Bagan Datoh, Perak yang bekerja di Lembah Klang.

Beliau juga gembira dengan kehadiran lebih 2,000 orang pada hari keluarga tersebut sekalipun jumlah yang berdaftar pada laman sosial Facebook hanya 300 anggota.

"Saya fikir program ini cukup baik dan saya minta anggota Parlimen lain supaya lakukan perkara yang sama bagi merapatkan hubungan dengan anak rantau dalam Parlimen masing-masing," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain