suria

Abang Johari Yakin Calon Muka Baru Boleh Menang

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yakin muka baru yang bakal ditampilkan parti itu mempunyai peluang yang cerah untuk menang pada pilihan raya Sarawak ke-10 berdasarkan kriteria calon boleh menang.

Selain itu katanya, indikasi terhadap keyakinan itu turut bersandarkan kepada kawasan yang bakal ditandingi muka baru berkenaan iaitu di kawasan kubu kuat PBB.

"InsyaAllah kita ada peluang yang cerah kerana kawasan-kawasan itu semuanya kubu kuat PBB," katanya ketika ditemui selepas merasmikan surau Nurul Najihin Kampung Stapok, Batu Kawa di sini, Ahad.

Selain itu katanya keputusan PBB menurunkan muka-muka baru pada pilihan raya Sarawak ke-10 yang akan diadakan 16 April depan ialah sebagai persediaan melatih pemimpin-pemimpin muda pada masa akan datang.

"Sudah menjadi dasar parti, kita mahu melatih pemimpin yang muda-muda untuk masa depan," katanya.

Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka menampilkan 30 peratus muka baru daripada sejumlah 71 calonnya, dengan PBB selaku parti tonggak menampilkan muka baru paling ramai iaitu sekurang-kurangnya 10 daripada 35 calonnya.

SUPP pula dijangka menampilkan sekurang-kurangnya tujuh muka baru, PRS dua dan SPDP seorang calon baru.

Kira-kira pukul 3 petang ini, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan mengumumkan senarai penuh calon yang mewakili BN selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain