suria

Tukang Emas Maut Terjatuh Dari Tingkat Dua Rumah Kedai

KLANG: Seorang tukang emas berusia 25 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua rumah kedai yang didiaminya di Jalan Tingkat Off Jalan Tengku Kelana di sini awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi itu, mangsa, S.Karthi yang masih bujang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata lelaki itu dipercayai sedang mencuci emas di singki yang terletak bersebelahan dengan tingkap apabila emas itu tiba-tiba terjatuh melalui tingkap itu ke atas bumbung asbestos di bangunan rumah kedai berkenaan.

"Mangsa cuba memanjat bumbung itu untuk mengambil emas tersebut tetapi bumbung itu kemudian bocor menyebabkan mangsa terjatuh dari ketinggian 3.96 meter ke sebuah bilik kosong di tingkat bawah rumah kedai berkenaan yang berkunci dari luar.

"Mayat mangsa ditemui oleh rakan serumahnya yang kemudian menghubungi pihak polis," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Mohamad berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat.

Beliau menolak sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain