suria

Malaysia-Indonesia Capai Kata Sepakat

BAGAN DATOH: Kementerian Pertahanan mencapai kata sepakat dengan Kementerian Kelautan dan Perikanan serta Kementerian Pertahanan Indonesia mengenai kawalan sempadan di perairan antarabangsa antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan telah dilakukan dengan kedua-dua menteri berkenaan berikutan kejadian pencerobohan perairan kedua-dua negara.

"Kejadian pencerobohan itu berpunca daripada kawasan tuntutan persempadanan yang bertindih (antara kedua-dua negara) di perairan Selat Melaka kerana peta yang digunakan oleh Malaysia dan Indonesia adalah berlainan mengikut tahun tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Veteran Umno Bahagian Bagan Datoh di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan polis marin Indonesia menahan enam bot tunda dan nelayan di Hutan Melintang sejak tiga bulan lalu kerana didakwa menceroboh kawasan perairan negara itu.

Katanya rundingan berkenaan juga diadakan untuk mengelak nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dalam perairan negara ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana masalah berkenaan.

Ahmad Zahid berkata rundingan lanjut akan diteruskan di peringkat menteri pada akhir bulan ini.

"Nelayan dan bot yang ditahan akan dibebaskan mengikut kaedah perundangan Indonesia dan ia akan dilakukan dalam waktu terdekat ini," katanya.

Beliau menasihatkan nelayan negara ini supaya tidak memasuki kawasan tuntutan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara untuk mengelakkan dikenakan tindakan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain