suria

Kes Denggi Catat Penurunan 58 Peratus Sehingga Minggu Lepas

PAPAR: Kes denggi di negara ini menurun 58 peratus bagi tempoh tiga bulan sehingga 26 Mac lepas dengan hanya 5,160 kes dilaporkan berbanding 12,157 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin berkata bagi minggu ke-12 antara 20 hingga 26 Mac, sebanyak 301 kes dilaporkan iaitu penurunan 16 peratus berbanding 357 kes tahun lepas.

"Kes kematian juga menurun kepada lapan kes atau 81 peratus berbanding 43 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas aktiviti gotong-royong anjuran kementerian itu, di Taman Pantai Lokawi dekat sini, Sabtu.

Di Sabah, sebanyak 156 kes dilaporkan pada minggu ke-12, katanya.

"Ini adalah penurunan sebanyak 71 peratus berbanding 546 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya menambah Sabah tidak mempunyai kawasan 'panas' denggi.

Bagaimanapun bagi meningkatkan lagi kesedaran rakyat mengenai bahaya denggi, Jabatan Kesihatan Sabah telah meminta selebriti tempatan, Abu Bakar Elah yang lebih dikenali sebagai 'Ampal' untuk membantu dalam program pencegahan.

Rosnah yang menyaksikan majlis menandatangani memorandum pelantikan Ampal itu, berkata selebriti tersebut adalah 'ikon' denggi Sabah yang akan berada di barisan hadapan pada setiap program kesedaran anjuran jabatan berkenaan.

"Kita perlukan pendekatan yang dapat menarik perhatian komuniti seperti selebriti," katanya.

Jabatan itu menggunakan tema "Bah! Mari Kita Kasi Mati Aedes" untuk projek kesedarannya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain