suria

Kerajaan Lulus RM15 Juta Bina Sumber Tenaga Solar Elektrik Di Semporna

SEMPORNA: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk membangunkan sumber tenaga elektrik berasaskan solar di tujuh pulau di sekitar Semporna.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan untuk projek yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di 15 kampung itu telah diluluskan Kementerian Kewangan.

"InsyaAllah sedikit masa lagi akan dilaksanakan. Perkara itu akan dikaji juruperunding dan kita harap ia dapat dilancarkan sedikit masa lagi. Seboleh-bolehnya kita ingin percepatkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Giat Mara cawangan Pulau Bum-Bum di sini, Sabtu.

Shafie berkata dengan adanya kemudahan itu, pulau-pulau berkenaan yang sebelum ini sentiasa bergelap atau memperoleh tenaga terhad menggunakan generator akan memperoleh tenaga elektrik 24 jam.

Beliau berkata kaedah solar itu dipilih memandangkan kedudukan pulau-pulau berkenaan agak jauh daripada grid bekalan elektrik dan jika penyambungan elektrik secara biasa dilakukan, ia akan memakan kos yang sangat tinggi.

Shafie berkata sumber bekalan tenaga alternatif secara solar itu boleh dilaksanakan kerana kaedah yang sama telah dicuba di Pulau Larapan dan terbukti penduduk pulau berkenaan mendapat banyak manfaat.

"Saya yakin melalui cara ini, kita bukan sahaja menjimatkan kos tetapi yang lebih mustahak masyarakat luar bandar dapat menikmati bekalan elektrik yang mencukupi," katanya.

Shafie berkata kaedah berkenaan bukan sahaja dilaksanakan di Sabah tetapi juga di Sarawak dan ia akan dikembangkan ke seluruh negara bergantung kepada kesesuaian lokasi yang memerlukannya.

Sebagai contoh, katanya perkampungan Orang Asli yang sukar dibekalkan elektrik melalui penyambungan biasa akan diberi kemudahan bekalan tenaga sama ada melalui set generator ataupun solar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain