suria

Wujud Salah Laku Dalam Pengurusan Kewangan PKNS - Abdul Khalid

SHAH ALAM: Pihak pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) didapati melanggar peraturan kewangan dengan menjalin urusniaga telemarketing bernilai RM30 juta dengan beberapa syarikat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pihak pengurusan PKNS tidak mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Pengarahnya sebelum mengikat urusan dengan syarikat telemarketing berkenaan.

Katanya berdasarkan peraturan kewangan PKNS, sebarang urusan membabitkan urusniaga melebihi RM500,000, pihak pengurusan perlu mengemukakan permohonan dan laporan kepada Lembaga Pengarah PKNS untuk kelulusan.

"Dalam hal ini, tiada laporan kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah dibuat oleh pihak pengurusan PKNS. Maka ia adalah satu tindakan yang kurang disiplin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, Khamis.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan nama syarikat yang terbabit dalam urusniaga telemarketing.

Telemarketing merupakan taktik terbaru perniagaan di mana wakil syarikat akan menghubungi orang ramai melalui telefon dan cuba memasarkan produk atau perkhidmatan mereka melalui telefon.

Abdul Khalid berkata jawatankuasa audit kerajaan negeri telah membuat beberapa keputusan berhubung audit kewangan PKNS dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan exco. -BERNAMA

Artikel Lain