suria

SPR Akan Laksana Urusan Persempadanan Semula

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri selepas kali terakhir ia dilaksanakan pada Mac 2003.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata persempadanan semula itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selepas lapan tahun selaras dengan peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"SPR dah boleh mula sekarang tetapi SPR sedang menunggu masa yang sesuai serta lapang kerana sebaik tarikh urusan persempadanan ditetapkan ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun," katanya dalam temuramah dengan Bernama dan RTM di sini, pada Jumaat.

Abdul Aziz berkata setelah lima kali urusan persempadanan dijalankan, belum ada sebarang pelanggaran Prinsip-prinsip Persempadanan yang ditetapkan oleh perlembagaan dilakukan SPR.

"Apa yang dilakukan SPR seboleh-bolehnya sesuatu bahagian pilihan raya itu sama ada bahagian Parlimen atau negeri diletakkan dalam satu daerah pentadbiran yang sama kecuali bagi beberapa bahagian pilihan raya tertentu di mana jumlah pemilih berkurangan," katanya. Bagi masalah itu, Abdul Aziz berkata SPR terpaksa mewujudkan satu bahagian pilihan raya Parlimen dari dua daerah pentadbiran berlainan terutamanya di bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen di Sabah dan Sarawak, namun tindakan itu dianggap tidak melanggar Prinsip-prinsip Persempadanan.

Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, beliau berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu, secara kasarnya di negeri-negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah kerusi yang genap.

"Jadi SPR mengalukan sebarang cadangan daripada semua pihak mengenainya. Semua pihak termasuk parti-parti politik boleh memberikan cadangan atau saranan untuk dipertimbangkan, namun keputusan muktamad di tangan SPR," katanya.

Beliau berkata empat prisip persempadanan yang ditetapkan ialah kemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak melanggar sempadan negeri.

Kedua, mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.

"Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan selain mengekalkan hubungan masyarakat tempatan," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata proses persempadanan semula itu masih bergantung kepada persetujuan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat untuk kerusi Parlimen dan Dewan Negeri bagi kerusi DUN. -BERNAMA

Artikel Lain