suria

Pilihan Raya DUN Sarawak: Masyarakat Bidayuh Tetap Pilih BN

SERIAN: Sungguhpun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup tersenarai sebagai antara 'kerusi panas' pada pilihan raya Sarawak, kebanyakan masyarakat Bidayuh yang menjadi majoriti pengundi kawasan berkenaan optimis Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan penguasaan mereka di situ.

Menurut mereka, kerajaan BN Sarawak berjaya mentadbir negeri itu dengan baik terutama sekali dalam menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Kiyak anak Kawa, 57, salah seorang pengundi di DUN Kedup percaya hanya BN mampu mengurus tadbir negeri itu berbanding pembangkang yang hanya tahu menabur janji kosong setiap kali tibanya pilihan raya.

"Dari dolok sampei kinek tok BN banyak merik bantuan kepada rakyat sitok, banyak kemudahan asas seperti elektirik, air dan jalan dipolah sidaknya untuk kesenangan rakyat (Dari dulu sampai sekarang BN banyak memberi bantuan kepada rakyat di sini, banyak kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan dibina mereka untuk kesenangan rakyat)," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Selain itu Kiyak berkata, beliau berharap masyarakat Bidayuh di kawasan berkenaan tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji kosong pembangkang kerana beliau sendiri berpengalaman diperdaya oleh pembangkang.

Mengakui pernah memangkah calon Bebas pada pilihan raya sekitar tahun 80an, beliau kesal dengan sikap wakil rakyat itu kerana gagal menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

"Dolok kamek pernah pangkah Bebas tapi sidaknya sik tunai janji (Dulu saya pernah undi Bebas tapi beliau tidak tunaikan janji)," katanya yang tinggal di Kampung Mentung Birawan.

Selain itu, Luka anak Achin, 57, berkata, kerajaan BN berjaya menunaikan janji-janji yang diberikan kepada rakyat dan tidak hanya pandai bercakap kosong.

"Sidaknya sik padah kosong, setiap janji akan ditunaikan. (Mereka tidak cakap kosong, setiap janji akan ditunaikan) Itulah kelebihan kerajaan BN," katanya.

Dalam pada itu Randi anak Biduh, 28, berkata sebagai golongan muda beliau menaruh kepercayaan yang tinggi kepada BN untuk membawa pembangunan kepada rakyat di kawasan itu.

Katanya, golongan muda mengharapkan pembangunan terutamanya kemudahan infrastruktur yang lebih baik.

Pada pilihan raya 2006, BN berjaya memenangi kerusi DUN Kedup melalui wakilnya, Frederick Bayoi anak Manggie dengan majoriti 1,981 undi.

Beliau memperoleh 5,635 undi menewaskan calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Prof Dr Razali Bolhi yang mendapat 3,654 undi.

Artikel Lain