suria

Muktamar Agung PAS: Semua Jawatan Tertinggi Akan Dipertandingkan

PETALING JAYA: Pemilihan PAS pusat pada tahun ini dijangka menyaksikan saingan sengit apabila semua jawatan tertinggi parti itu akan dipertandingkan pada Muktamar ke-57 yang akan berlangsung Jun ini.

Muktamar tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Jun 2011 di Markas Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata pencalonan bagi setiap jawatan yang dipertandingkan sudah bermula sejak bulan lepas. “Kita sudah ada terima pencalonan, tapi saya tidak boleh dedahkan sekarang kerana masih terlalu awal.

“Pencalonan dan mesyuarat PAS di peringkat kawasan dan cawangan sudah pun bermula dan saya jangka ia akan berakhir pada penghujung April ini. Selepas itu kita akan kira dan umumkan siapa yang layak bertanding,” katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan jawatankuasa pemilihan PAS menjelang Muktamar ke-57.

Mustafa yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, setiap calon layak bertanding apa jua jawatan dalam PAS dengan memperoleh dua pencalonan sahaja.

“Kita tidak ada sekatan dalam parti. Kalau ada orang nak bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pun boleh, yang penting dia perlu dapat sekurang-kurangnya dua pencalonan,” katanya.

Pemilihan PAS pusat pada tahun ini dijangka menarik perhatian peminat politik negara apabila caka-cakap menyatakan bahawa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa tidak akan mempertahankan jawatannya.

Bagaimanapun sehingga kini, beliau belum lagi memberi sebarang kata putus sama ada untuk berbuat demikian atau tidak. Nasharuddin dijangka berhadapan dengan dua seteru lamanya, yang juga bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang dijangka akan mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan nombor dua itu dalam masa terdekat ini.

PAS mempunyai 171 bahagian di seluruh negara dan setiap bahagian perlu menghantar pencalonan untuk jawatan tertinggi PAS pusat iaitu, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS pusat.

Artikel Lain