suria

Kerajaan Tidak Tergesa-Gesa Laksanakan Projek Nuklear

KUALA LUMPUR: Kerajaan yang menyedari sepenuhnya impak krisis loji nuklear Jepun, tidak tergesa-gesa merealisasikan program tenaga nuklear Malaysia memandangkan daya majunya masih dinilai.

"Saya rasa banyak negara di dunia membuat penilaian semula dan kita akan memanfaatkannya dan kerajaan akan membuat keputusan muktamad apabila masanya tiba," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najid Tun Razak pada temu bual dengan Bloomberg baru-baru ini.

Bagi melaksanakan pelan nuklear itu, kerajaan perlu melalui kajian daya maju yang ketat, susulan krisis nuklear di Jepun akibat gempa bumi.

"Keselamatan orang ramai diutamakan, dan jika projek itu dilaksanakan, ia mesti memberi manfaat kepada negara.

"Yang penting ialah mendapat sokongan rakyat," katanya.

Rancangan untuk mendapatkan maklum balas komuniti antarabangsa dan melaksanakan ciri-ciri keselamatan yang mematuhi amalan terbaik antarabangsa, sudah disediakan bagi melaksanakan program tenaga nuklear pertama Malaysia.

Pada Disember 2010, kerajaan mengumumkan pelan untuk membina dua loji tenaga nuklear yang masing-masing mampu menjana 1,000 megawatt, dengan projek pertama sedia beroperasi pada 2021 dan loji kedua, setahun kemudian sebagai rancangan jangka panjang menyeluruh untuk bekalan tenaga yang seimbang.

Kerajaan berkata tenaga nuklear merupakan pilihan yang utama dalam mengimbangi sumber tenaga berikutan kos penyelenggaraan yang rendah dan tarif yang lebih rendah dalam jangka panjang.

Pada masa ini gas menyumbang 64 peratus daripada penjanaan tenaga di Malaysia manakala selebihnya daripada arang batu. Sementara itu, Najib juga berkata kerajaan memantau rapat projek kilang "rare earth" Lynas Corporation di Kuantan.

"Jika projek seperti itu mahu diteruskan, kerajaan akan pastikan ia melalui pemeriksaan yang ketat dan memenuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan," katanya.

Projek kilang penapis "rare earth" Lynas menarik perhatian dunia dan dibantah rakyat berdasarkan persamaannya dengan kilang rare earth di Bukit Merah, Ipoh.

Kilang di Bukit Merah yang dibuka oleh Mitsubishi Chemicals pada tahun 1990-an dan dikatakan mengeluarkan bahan radioaktif dan menjejaskan kesihatan bekas pekerjanya, kini melalui kerja-keja pembersihan yang menelan belanja RM300 juta. -BERNAMA

Artikel Lain