suria

AirAsia Teruskan Penerbangan Ke Jepun

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah utama dunia, AirAsia Bhd, akan meneruskan perkhidmatan ke Jepun walaupun negara matahari terbit itu berhadapan masalah radiasi nuklear.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Tony Fernandes berkata AirAsia sebaliknya akan terus melaksanakan khidmat penerbangan penuh ke ekonomi ketiga terbesar di dunia itu atas semangat perpaduan.

Menurutnya keputusan AirAsia itu adalah konsisten dengan pendiriannya semasa meneruskan penerbangan ke Christchurch, New Zealand, yang dilanda gempa bumi pada 22 Feb dan Banda Aceh yang hampir musnah semasa tsunami melanda Indonesia pada 26 Disember 2004.

Syarikat sekutu AirAsia, Airasia X, penerbangan tambang rendah jarak jauhnya, terbang ke lapangan terbang Haneda Tokyo dari Kuala Lumpur sejak Disember tahun lepas

"Kehadiran AirAsia ini adalah untuk membantu negara-negara yang memerlukan, selepas dilanda bencana alam. Kami tidak mahu mengecewakan mereka," katanya pada temu bual eksklusif dengan Bernama Radio24, dari London, malam Jumaat.

Beliau yang menerima anugerah "Commander of the Order of the British Empire" daripada Ratu Elizabeth II di London semalam, menyatakan akan kembali bergiat aktif dalam industri muzik sepenuh masa serta mengadakan konsert.

Tony Fernandes merupakan antara usahawan yang paling berjaya dalam dunia korporat Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain