suria

Tiga Maut Selepas Kereta Kancil Rempuh Belakang Treler

GUA MUSANG: Tiga terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah Perodua Kancil, sebuah treler dan sebuah lori kontena di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Aziz Hassan berkata yang meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu terdiri daripada pemandu Perodua Kancil, Mat Dahri Yusoff, 35, penumpangnya Sa'ade Mohd Nor, 38, dan pemandu lori, Muhammad Fathimy Hassan, 29.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan, dan mayat mereka dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Katanya Mat Dahri beralamat di kedai bangunan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini, manakala Sa'ade tinggal di rumah setinggan Jalan Kesedar Inn, dan Muhammad Fathimy pula berasal dari Pedas, Negeri Sembilan.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata kejadian berlaku ketika semua kenderaan dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang, apabila pemandu treler pengangkut kenderaan itu dipercayai cuba mengelak sebuah lori penuh muatan tong gas yang rosak di hadapannya. "Treler itu memperlahankan kenderaan menyebabkan Perodua Kancil di belakang merempuh treler berkenaan sebelum ia terbalik, dan dirempuh pula oleh sebuah lori kontena," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Aziz berkata sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan dua mayat yang tersepit dalam kereta berkenaan.

Menurutnya pemandu lori kontena dipercayai terbunuh akibat terkena besi daripada belakang treler angkut kenderaan tersebut, namun kelindannya, Mohamad Zukhairi Baharom terselamat apabila dia terjatuh ke dalam longkang semasa kejadian. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain